Penyelidik USM Berjaya Cipta Konkrit Tanpa Simen Mesra Alam

Penyelidik School Of Housing Building and Planning Universiti Sains Malaysia (USM) Dr Cheah Chee Ban menunjukkan komposit konkrit tanpa simen yang berupaya mengurangkan tapak karbon dan tenaga pembuatan berbanding dengan bahan konkrit sedia ada pada sidang media di USM hari ini. - Foto BERNAMA
GEORGE TOWN – Sekumpulan penyelidik Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya mencipta konkrit tanpa simen dengan 100 peratus bahan buangan industri.

Ketua Penyelidiknya, Dr. Cheah Chee Ban berkata ciptaan komposit konkrit tanpa simen itu berupaya mengurangkan tapak karbon dan tenaga pembuatan berbanding bahan konkrit sedia ada.

“Blok Konkrit Mesra Alam Tanpa Simen ini unik kerana ia mengurangkan tahap kealkalian dan hakisan kimia sekiranya dibanding dengan konkrit geopolimer sedia ada,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata bahan buangan industri yang digunakan untuk menghasilkan konkrit tanpa simen itu terdiri daripada bahan buangan dari kilang kayu, kilang besi, kilang padi dan stesen janakuasa elektrik.

Komposit konkrit tanpa simen itu boleh digunakan sebagai bahan pembuatan blok atau struktur bangunan, blok untuk kegunaan dalam kerja-kerja geotenik, blok penurap dan bata untuk dinding bangunan, katanya.

“Dalam masa terdekat usaha berterusan akan dilaksanakan untuk membawa teknologi pembuatan itu dari makmal penyelidikan ke sektor pembuatan untuk implementasi skala besar.

“Kami akan bekerjasama dengan pihak industri yang mempunyai potensi untuk mengkormersialkan hasil ciptaan itu,” katanya yang mula menjalankan penyelidikan itu pada tahun 2012.

Cheah berkata satu meter isi padu konkrit tanpa simen itu dijual dengan harga RM150 hingga RM170 dan ia dijangka berada di pasaran Jun tahun ini.

Beliau berkata harga itu lebih murah berbanding harga pasaran konkrit simen biasa yang dijual antara RM180 hingga RM250 untuk satu meter isi padu.

Beliau berkata ciptaan itu turut memenangi pingat perak dalam Persidangan dan Ekspo Ciptaan Institusi Pengajian Tinggi Antarabangsa 2015 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 4 hingga 6 Disember lepas. – BERNAMA