Penyokong Seru Rakyat Kedah Berhimpun Pertahan Mukhriz Malam Ini


Para penyokong Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir dijangka berkumpul di perkarangan Bangunan Tunku, Alor Setar pada jam 8.00 malam ini bagi menyatakan sokongan mereka terhadap kepimpinan Menteri Besar Kedah itu.

Sebuah poster yang menyeru para penyokong Mukhriz untuk berhimpun di Bangunan Tunku yang menempatkan Pejabat UMNO Negeri Kedah itu sedang giat disebarkan di laman-laman sosial, termasuk laman page Facebook, Mukhriz Mahathir FC.

"Selamatkan Kedah! Orang Kedah turun berhimpun menyokong kepimpinan MB Kedah Mukhriz Mahathir," tertulis di poster sebaran berkenaan.



Sementara itu, turut dilaporkan bahawa Mukhriz telah bergegas pulang ketika menghadiri sebuah program di Kampung Berjaya setelah mendapat tahu tentang sidang akhbar tergempar oleh hampir seluruh pucuk pimpinan UMNO Kedah itu.

Tindakan berkenaan telah mengejutkan media yang hadir yang mahu bertanyakan tentang sidang akhbar yang diadakan bagi menyatakan pendirian UMNO Kedah hilang keyakinan terhadap beliau.

Difahamkan bahawa Mukhriz bergegas pulang untuk bermesyuarat bagi membincangkan isu berkenaan dan dijangka membuat sidang media malam ini. -Kedahnews.com