Perjanjian Pakatan Harapan Untuk Monopoli, Selamatkan Kedudukan DAP


SHAH ALAM – Penganalisis politik berpandangan, prinsip bersetuju sebulat suara yang dimeterai dalam Perjanjian Pakatan Harapan hanyalah untuk menyelamatkan DAP.

Penganalisis politik Profesor Dr Fuad Mad Jali berkata, DAP dilihat lebih memonopoli ke atas perjanjian tersebut.

Menurut Fuad, DAP bimbang sekiranya PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah) berpaling dan menjalin kerjasama, sama ada dengan Pas atau Umno pada PRU14 akan datang, maka mereka kehilangan kuasa.

“Bagi memastikan tiada parti komponen keluar dari Pakatan Harapan, maka perjanjian seumpama itu dibentuk agar kekal bergabung sehingga  selepas PRU14,” katanya.

Katanya, dalam isu hudud, DAP jelas menolaknya, namun PKR hanya berdiam diri, tidak menyokong atau menyatakan tentangan secara terbuka.

Maka, melalui perjanjian itu, kesemua parti perlu bersetuju dengan apa sahaja ketetapan dibuat termasuk isu hudud.

Fuad berkata, DAP dilihat lebih memonopoli perjanjian tersebut bagi memastikan mereka dominan.

“Jadi tidak hairankan perjanjian itu dibuat bagi memastikan kuasa DAP lebih mantap. Mereka takut kehilangan kuasa dan kerusi semasa PRU14,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penganalisis politik, Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, perjanjian dibuat agar tiada mana-mana parti gabungan membuat kenyataan bercanggah selepas dipersetujui Pakatan Harapan.

“Tidak banyak bezanya dengan prinsip bersetuju untuk tidak bersetuju yang diamalkan ketika dalam PR. Melalui prinsip ini, setiap parti masih boleh menyatakan tidak bersetuju dengan sesuatu perkara.

“Namun, perjanjian Pakatan Harapan, mereka lebih bertegas, bagi memastikan tiada parti komponen membuat kenyataan bercanggah daripada yang telah dipersetuju sebulat suara oleh DAP, Amanah dan PKR,” katanya.

Sumber: Sinar Harian