Gambar Hiasan |
GEORGE TOWN - Harga udang besar kini melambung sejak beberapa bulan lalu akibat kekurangan bekalan serta cuaca buruk, dan orang ramai mendakwa ia berharga sehingga RM120 sekilo.
Permintaan terhadap udang turut meningkat menjelang sambutan Tahun Baru Cina apabila orang ramai mula membeli banyak sumber makanan berkenaan untuk disimpan bagi persediaan makan malam sempena perayaan itu.
Penjual ikan, Lai Lee Yen, 42, berkata, harga udang besar di Pulau Pinang meningkat secara mendadak disebabkan cuaca.
"Tidak ramai nelayan keluar ke laut kerana angin kuat dan mereka yang keluar pula pulang dengan hasil tangkapan yang sedikit," katanya.
Dia mendakwa harga udang besar yang sebelum ini berharga RM60 sekilo kini dijual pada RM120.
"Kita jangka harga akan terus meningkat sehingga Tahun Baru Cina.
"Saya percaya udang besar akan dijual antara RM150 dan RM160 sekilo sebelum hari perayaan. Orang ramai membelinya sekarang selagi boleh dan simpan," katanya pada Isnin.
Lai turut menjangkakan harga ikan meningkat dua minggu sebelum Tahun Baru Cina.
Dia mendakwa harga ikan kerapu telah pun meningkat.
"Ikan itu sebelum ini dijual pada harga RM26 sekilo tetapi kini berharga RM30 sekilo.
"Orang tengah dari negara-negara jiran turut datang membeli hasil tangkapan kita kerana mereka bagus dalam menawar kerana harga harga ikan kita lebih murah berikutan pertukaran wang asing," katanya.
Habib Najar Abdul Rashid, 56, yang menjadi nelayan selama 44 tahun mendakwa penjual udang ketika ini menyimpan bekalan itu supaya mereka boleh menjualnya sempena Tahun Baru Cina.
Katanya, harga ikan bawal turut meningkat.
"Saya jangka harga ikan bawal boleh mencecah melebihi RM70 sekilo dengan kedatangan Tahun Baru Cina tetapi harga ikan-ikan lain mungkin meningkat paling banyak pun kepada RM1 sekilo.
"Kenaikan harga sentiasa berlaku untuk jualan ikan kerana adanya permintaan sempena perayaan," katanya.
Sumber: mStar