Pernah Akur Tidak Dilantik, Ahmad Bashah Nafi "Gila Jawatan" Menteri Besar

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah
ALOR SETAR - Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa konon dirinya "gila jawatan Menteri Besar".

Ahmad Bashah pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 yang lalu menarik perhatian ramai apabila beliau memberi laluan kepada Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir untuk menjadi Menteri Besar Kedah.

Tindakan beliau itu dilihat sebagai satu tindakan akur kepada keputusan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dan langsung tidak memberontak atau protes terhadap penafian hak beliau untuk menjadi Menteri Besar.

Ahmad Bashah ketika itu menyandang jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah dan Barisan Nasional (BN) selama 5 tahun berjaya menyatukan semua UMNO Bahagian di seluruh Kedah untuk bersamanya dan menyusun gerak kerja bagi merampas Kedah kembali dari pentadbiran PAS selama sepenggal.

"Saya terima kerana itu adalah hak Perdana Menteri dan saya tak pertikaikan. Ia demi kekuatan dan kepentingan parti dan negara.

"Saya terima kerana pada masa itu tujuan kita adalah untuk menang dan merebut kembali kuasa di tangan pembangkang," katanya di sini dalam satu kenyataan, semalam.

Suasana politik di Kedah "panas" sejak beberapa hari lepas apabila kepimpinan Umno negeri yang secara terbuka menyuarakan hilang keyakinan terhadap kepimpinan Mukhriz sebagai Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri.

Tindakan tersebut telah menyebabkan ramai penyokong Mukhriz berang, memaki hamun dan menghamburkan kata-kata mencarut terhadap Ahmad Bashah yang dituduh sebagai "gila jawatan".   -Kedahnews.com