Persiapan Sedang Dibuat Untuk Majlis Angkat Sumpah MB Kedah Ke-12?


Desas-desus di Kedah sedang kecoh memperkatakan tentang khabar angin kononnya persiapan sedang dibuat bagi majlis angkat sumpah Menteri Besar yang baharu di istana Anak Bukit dalam tempoh masa terdekat.

Khabar angin berkenaan mula tersebar setelah dilapor majoriti Ahli Dewan Undangan BN Kedah telah menandatangani akuan bersumpah (SD) bagi menukar pucuk pimpinan kerajaan negeri, termasuk jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri.

Turut dilaporkan bahawa beberapa Exco Kerajaan Negeri yang dikatakan menyebelahi Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir, turut bertindak menandatangani akuan bersumpah (SD) untuk setuju menukar Menteri Besar Kedah itu.

Antara yang dikatakan yang telah menurunkan tandatangan mereka adalah Datuk Suraya Yaacob (Sungai Tiang), Datin Nor Sabrina Mohd Noor (Bandar Baharu) dan Adun Jitra, Datuk Aminuddin Omar.

Sementara itu, mStar turut melaporkan angin perubahan yang sama dengan mengatakan seramai 19 Adun BN di Kedah telah menandatangani SD berkenaan, termasuk menamakan Suraya, Nor Sabrina dan Adun Siputeh, Datuk Abu Hasan Shariff.

"19 wakil rakyat telah menandatangani akuan berkanun (SD) yang menyatakan sokongan mereka terhadap penyingkiran menteri besar.

"Kesemua mereka telah mengesahkan SD mengatakan bahawa mereka telah hilang keyakinan terhadap Mukhriz," jelas sumber berkenaan.

Selain itu, calon yang bakal menggantikan Mukhriz masih lagi menjadi tanda tanya ramai dan sehingga kini nama Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah dan lima lagi Adun dilaporkan tersenarai untuk dipilih.

Lima Adun tersebut adalah Datuk Ku Rahman Ku Ismail (Guar Chempedak), Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid (Ayer Hangat), Datuk Tajul Urus Mat Zain (Tanjung Dawai), Datuk Ahmad Zaini Japar (Bukit Kayu Hitam) dan Datuk Ahmad Lebai Sudin (Adun Bukit Lada).

Walau bagaimanapun, kami sedang menunggu kepastian tentang sama ada khabar angin yang sedang bertiup kencang itu sahih atau sebaliknya. -Kedahnews.com