Sebahagian petani menunjukkan slip belian padi yang mencatatkan jumlah potongan hasil padi lebih 20 peratus, semalam. |
KODIANG - Majoriti petani di sekitar Kedah dan Perlis membantah pengilang beras yang didakwa melakukan pemotongan padi terlalu tinggi sekitar lebih 20 peratus.
Wakil petani, Hazri Hizan Harun, 38, berkata, tindakan itu menyebabkan pendapatan petani terjejas teruk selain terpaksa menanggung banyak kerugian.
“Kami rasa sangat kecewa sebab selama 25 tahun sebagai petani, pemotongan padi yang dibuat hanyalah sekitar 17 peratus.
“Tapi bila kerajaan umum kenaikan subsidi padi, tiba-tiba pengilang pun menaikkan pula kadar potongan padi. Itu yang kami rasa tidak puas hati,” katanya kepada media selepas mengadakan demontrasi aman bersama hampir 30 wakil petani di hadapan sebuah kilang beras dekat Pering, di sini, baru-baru ini.
Menurutunya, pemotongan hasil padi itu menyebabkan petani terpaksa menanggung kerugian besar dalam perbelanjaan racun, mesin padi dan membayar upah.
“Kami rasa rugi. Dulu kami boleh dapat sekitar RM1,200 setiap metrik tan, tapi pemotongan itu menyebabkan pendapatan kami terjejas teruk sekitar RM1,110 sahaja,” katanya.
Ahmad Mat Hassan, 58, pula mendakwa pengilang beras kebanyakannya melakukan pemotongan hasil padi berdasarkan nilaian sendiri dan tidak mengikut cara yang betul.
“Dulu semasa kerajaan umum kenaikan subsidi padi, semua petani seronok sangat walaupun kenaikan itu hanya lima sen atau bersamaan RM50 bagi satu tan metrik padi.
“Kalau dulu potongan padi 17 peratus, sekarang 21 peratus. Bermakna kerajaan bagi petani lima sen, tapi petani kena ‘pulangkan’ kepada kerajaan 15 sen. Itu membebankan kami,” katanya.
Sekiranya kenaikan subsidi padi menyebabkan dasar pemotongan padi juga tinggi, beliau mencadangkan supaya kerajaan mengekalkan subsidi padi pada harga lama.
“Sekarang ini padi kering. Dulu masa musim hujan, mereka (pengilang beras) boleh pula buat potongan padi sekitar 17 hingga 19 peratus.
“Sekarang mana ada padi basah, semuanya kering. Kalau kata kami tipu, kerajaan boleh naik tengok sendiri peratus padi atas lori. Sama ada padi itu hijau atau masak (kuning),” katanya.
Sumber: Sinar Harian