Pilot Beri Amaran Diancam Keganasan, Aegean Airlines Terpaksa Dilencong

Gambar Hiasan
Sebuah pesawat dalam penerbangan dari Athens ke Madrid dilapor terpaksa dilencongkan ke Mallorca pagi semalam ekoran juruterbang pesawat berkenaan memberi amaran mengenai ancaman keganasan di dalam pesawat.

Memetik dari portal Mail Online, juruterbang pesawat milik Aegean Airlines itu memaklumkan perkara berkenaan kepada pusat kawalan trafik demi keselamatan para penumpang pesawat yang dipandunya.

Skuad bom kemudiannya bergegas menjalankan pemeriksaan sebaik sahaja pesawat berkenaan tiba di Lapangan Terbang Son Sant Joan di Mallorca.

Penumpang dan barang-barang mereka turut diperiksa selama beberapa jam.

Walau bagaimanapun, punca amaran itu tidak didedahkan namun kru pesawat telah meminta protokol anti keganasan dilakukan oleh pihak berkuasa.

Difahamkan bahawa pesawat itu kemudiannya menyambung penerbangannya semula ke destinasi yang dituju, Madrid.

Turut dilaporkan bahawa juruterbang "mengesan beberapa insiden" atau bimbang terhadap salah seorang daripada penumpang di dalam pesawat berkenaan yang mencurigakan.
Namun seorang jurucakap untuk Keselamatan Awam mengesahkan bahawa amaran tersebut adalah palsu dan tiada perkara berbahaya ditemui.

Madrid yang mengulas mengenai kejadian berkenaan mengambil langkah berhati-hati dan menyifatkan ia sebagai salah satu cubaan dengan menjadikan Sepanyol sebagai serangan keganasan. -Kedahnews.com