Pinda Akta Untuk Sekat Laman Blog Fitnah Institusi Kepimpinan Negara

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Mohd Salleh Said Keruak (dua, kiri) pada pra pelancaran Malaysia Social Media Week bersama pengasas Universiti LimKokWing, Tan Sri Lim Kok Wing (kiri) semalam. - Foto BERNAMA
CYBERJAYA – Pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia yang dijangka dibentang di Parlimen Mac ini, akan menyelaras penguatkuasaan dalam menyekat laman blog yang memfitnah institusi kepimpinan negara, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Beliau berkata turut disekat ialah artikel dan catatan dalam laman sosial yang menggugat ketenteraman dan kestabilan negara serta melanggar Akta Hasutan yang diviralkan menerusi media sosial.

“Diharapkan sebaik saja dapat kelulusan daripada Peguam Negara dan kemuka kepada Kabinet, kalau ada kesempatan (pindaan) akan dibentang dalam Mac,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Minggu Media Sosial Malaysia 2016 di sini semalam.

Salleh berkata pindaan tersebut akan memperjelas kuasa kerajaan dalam menguatkuasakan pelbagai akta bagi mengawal penyalahgunaan media sosial.

Ditanya mengenai blog Sarawak Report, beliau berkata walaupun laman blog berkenaan telah disekat namun pengendali laman blog berkenaan menggunakan wadah lain.

Beliua berkata pindaan yang bakal dilaksanakan membolehkan kerajaan menyekat wadah berkenaan.

“Sarawak Report terbukti asyik menyebar fitnah sahaja di mana tidak ada asas sama sekali apa yang dilaporkan. Jika tidak berbuat demikian (disekat) akhirnya rakyat juga akan terkeliru dengan benda-benda yang tidak ada asas sama sekali,” katanya.

Salleh berkata mesyuarat pertama jawatankuasa menangani penyalahgunaan media sosial yang beliau pengerusikan pada Selasa turut bersetuju untuk menyelaras tindakan penguatkuasaan dengan merujuk kepada 10 akta selain bahagian penguatkuasaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), diterajui polis. – BERNAMA