PKR Kecam TG Abdul Hadi Buat Komen "Jahat", "Taksub"


KUCHING – Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian menyifatkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai "contoh klasik penduduk Malaysia Barat yang tiada pengetahuan mengenai sejarah rakyat Sarawak dan tiada minat untuk belajar".

“Saya tidak faham apa yang akan beliau (Presiden PAS) dapat dengan buat komen jahat dan taksub sedemikian rupa,” kata ADUN PKR kawasan Ba’Kelalan tersebut yang disiarkan oleh portal tempatan AgendaDaily.

Menurut Baru Bian, dengan membuat kenyataan jahil itu, Abdul Hadi menunjukkan beliau tidak mempunyai kebijaksanaan dan wawasan untuk bergelar seorang pemimpin, tidak kira dalam politik ataupun agama.

“Pemimpin sebenar akan berusaha untuk menyatukan semua rakyat, manakala oportunis kejam dan tidak berprinsip akan menyebabkan perpecahan dalam kalangan masyarakat kita.

“Saya tidak kata saya pakar mengenai Islam, tetapi kata-kata Abdul Hadi adalah perbuatan keji terhadap agamanya sendiri dan ia hanya boleh dimaafkan jika beliau terbukti nyanyuk atau tidak waras,” tambahnya.

Abdul Hadi sebelum ini dipetik Harakahdaily sebagai berkata: “Kristian tidak lagi menarik di negara-negara yang mempunyai tahap pendidikan tinggi, seperti Jerman, Perancis, Britain malah di benua Eropah.

“Jadi, pendakwah mereka (mubaligh Kristian) cuba membawa pengajaran agama tersebut kepada masyarakat miskin di kawasan pedalaman di negara kita pula, seperti Sabah dan Sarawak.”

Pada Pilihan Raya Negeri 2011 lalu, PAS nekad bertanding di empat kerusi Sarawak, iaitu Tanjung Datu, Sadong Jaya, Sebuyau dan Beting Maro yang merupakan kawasan majoriti pengundi Melayu.

Cubaan tersebut sekadar meraih hampir 20 peratus undi di ketiga-tiga kerusi berkenaan, kecuali Beting Maro, di mana mereka berjaya mendapat 46.1 peratus undi dalam pertandingan satu lawan satu.

Kawasan ‘panas’ tersebut menyaksikan calon Barisan Nasional Sarawak daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu, Razali Gapor hanya mampu menang dengan majoriti kecil 391 undi sahaja.

Calon PAS, Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus berjaya meraih 2,678 undi, berbanding Razali yang cuma mendapat 3,069 undi di kerusi bermajoriti pengundi Melayu Sarawak itu.

Pemerhati politik tempatan percaya bahawa kenyataan Abdul Hadi baru-baru ini bertujuan untuk meraih undi masyarakat Islam di Sarawak, dengan membangkitkan sentimen sensitif berbaur keagamaan.

Namun, dengan keadaan Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem yang memegang tampuk pentadbiran Sarawak sejak 2014, ia mungkin sukar untuk PAS membuat perubahan pada pilihan raya negeri kali ini. – Agensi