Orkid juga antara tarikan utama pada pesta itu. |
KULIM - Jualan pokok tin pada Pesta Orkid dan Flora Kulim berjaya menarik perhatian pengunjung untuk datang ke pesta itu yang berlangsung di Medan Usahawan Pekan Kulim.
Pesta yang diadakan selama 10 hari bermula 18 Januari hingga 27 Januari ini akan dibuka dari jam 10 pagi hingga 12 tengah malam.
Selain menjual pelbagai jenis pokok bunga dan buah-buahan, pesta itu juga dimeriahkan dengan gerai jualan pakaian, aksesori wanita dan makanan.
Pengarah Urusan BMC Venture, Syed Mohd Asri Syed Mothar berkata, pesta kali ini menampilkan pokok tin yang dibawa oleh pembekal terbesar di negara ini dan dijual kepada dengan harga berpatutan.
Menurutnya, pokok tin ini antara tumbuhan yang semakin mendapat tempat di hati pengunjung yang ingin menikmati keenakan buah tin ditanam sendiri.
“Pokok ini dijual bergantung kepada saiz pokok dan ia adalah tumbuhan yang semakin mendapat permintaan ramai.
“Selain itu, bagi penggemar bunga, pelbagai jenis orkid, pokok bonsai dapat diperoleh di sini dengan harga berpatutan,” katanya.
Syed Mohd Asri berkata, pelbagai jenis tumbuhan herba yang boleh digunakan masyarakat dalam masakan atau perubatan turut dijual.
"Selain jualan, pelbagai aktiviti juga dijalankan sepanjang pesta itu termasuk pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, cabutan bertuah, persembahan artis tempatan dan pertandingan nyanyian.
"Orang ramai dijemput hadir kerana pesta ini menyajikan pelbagai aktiviti yang pastinya akan menghiburkan mereka," katanya.
Dalam pada itu, katanya, bagi peminat haiwan eksotik pula, mereka boleh dapatkan pelbagai jenis spesies yang turut dijual di pesta itu.
“Kita ada gerai yang turut menjual haiwan eksotik seperti ular dan haiwan peliharaan antaranya tikus belanda, ayam serta ikan,” katanya.
Sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh hubungi talian 017-4048867.
Sumber: Sinar Harian