Polis Kulim Tahan Reman 13 Lelaki Berebut Kawasan Jual Ais


KULIM - Seramai 13 lelaki termasuk seorang pelajar sekolah ditahan berkaitan insiden rusuhan yang berpunca daripada perebutan kawasan operasi penjualan ais, awal pagi semalam.

Rusuhan itu dipercayai berlaku di sebuah kedai makan di Padang Serai di antara jam 4 pagi hingga 6.30 pagi apabila sekumpulan lelaki berusia lingkungan 17 hingga 54 tahun menyerang seorang mangsa sehingga mengalami kecederaan.

Difahamkan, sebanyak tujuh laporan polis juga telah dibuat mengenai kejadian itu yang berpunca daripada perselisihan faham antara dua geng yang berebut kawasan operasi penjualan ais.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim, Datuk  Zakaria Yusof berkata, dalam kejadian ini tiga lelaki telah mengalami kecederaan dan menerima rawatan sebagai pesakit luar.

“Kita telah berjaya menahan 13 suspek yang dipercayai terlibat dalam rusuhan tersebut dalam Ops Cantas yang dijalankan sehingga malam semalam.

“Kita juga telah mengenalpasti beberapa lagi suspek yang terlibat dalam rusuhan tersebut dan akan membuat tangkapan secepat mungkin,” katanya pada sidang media, selepas program lawatan persaraan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim, semalam.

Katanya, kesemua suspek direman semalam dan disiasat di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ).

“Kita sedang siasat sama ada mereka ada kaitan dengan rekod-rekod lampau, kita tidak akan bertolak ansur dengan penjenayah yang boleh gugat keselamatan negara kita sama ada merusuh seperti berlaku di Padang Serai,” katanya.

Sumber: Sinar Harian