Politik Kedah Gegar! Majoriti Pemimpin UMNO Negeri Desak Peralihan Kuasa

Pentas politik negeri Kedah hari ini bergegar dengan ledakan 'gunung berapi' dari majoriti para pemimpin UMNO Negeri Kedah yang menegaskan pendirian hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri dan Menteri Besar Kedah.

Memberikan empat sebab utama yang menjadi punca hilang keyakinan terhadap Mukhriz, mereka seterusnya mendesak Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak supaya melakukan perubahan segera terhadap kepimpinan tertinggi parti dan kerajaan negeri.

"Adalah dengan ini dimaklumkan bahawa seluruh kepimpinan UMNO Negeri Kedah dan wakil-wakil rakyat berhimpun untuk menyatakan bahawa kami telah hilang kepercayaan dan keyainan terhadap YAB Dato' Seri Mukhriz Mahathir sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Kedah dan juga sebagai Menteri Besar Kedah.

"Dengan ini kami merayu keperihatinan YAB Perdana Menteri untuk membuat perubaan segera ke atas kepimpinan tertinggi parti negeri serta Menteri Besar Kedah," kata kenyataan bersama tersebut.

Berikut pula adalah empat sebab utama yang diberikan;

"1. Kegagalan beliau dalam menyatupadukan kepimpinan dan jentera parti di semua peringkat di negeri Kedah.

2. Tiada sebarang perancangan strategik parti bagi menghadapi pilihanraya umum ke-14.

3. Beliau gagal dalam mengetuai dan menggerakkan jentera parti selepas mengambil alih kepimpinan parti di negeri Kedah.

4. Sebagai Menteri Besar beliau juga gagal mengurutadbir kerajaan negeri secara berkesan."

Turut hadir di majlis sidang media tersebut ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Timbalan Menteri KPDNKK yang juga Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Johari Baharum.

Selain itu, Pengerusi Tabung Haji yang juga Bendahari UMNO Negeri, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim, Setiausaha UMNO Negeri, Datuk Othman Aziz, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Rozai Md Sapian juga hadir.

Sementara itu, Exco Kerajaan Negeri, Datuk Badrol Hisham Hashim, Setiausaha Politik Menteri Besar, Datuk Azimi Daim, dan dua pegawai khas Menteri Besar turut dilaporkan hadir difahamkan bagi memantau keadaan.


Antara Ketua Bahagian dan pemimpin yang bersama adalah Ketua UMNO Bahagian Pokok Sena, Datuk Ahmad Lebai Sudin, Timbalan Speaker DUN, Datuk Azmi Che Hussin, Ketua Wanita UMNO Negeri, Datuk Dr Maznah Hamid dan Ketua UMNO Bahagian Langkawi, Datuk Ir Nawawi Ahmad.

Juga hadir ialah Ketua UMNO Bahagia Merbok, Datuk Tajul Urus Mat Zain, Ketua Pergerakan UMNO Negeri, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin, Ketua Pergerakan Puteri UMNO Negeri, Datin Norhashimah Md Nowar serta keseluruhan majoriti pemimpin UMNO dari bahagian-bahagian lain.

Walau bagaimanapun, Menteri Pendidikan yang juga Ketua UMNO Bahagian Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid tidak hadir dipercayai berada di luar negara atas tugas. -Kedahnews.com