Pramugari MAB Menangis Dipaksa Hidang Arak, Tak Pakai Tudung - Mufti Perlis


KUALA LUMPUR – Mufti Perlis, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin mendakwa seorang pramugari Malaysia Airlines Bhd. (MAB) mengadu dipaksa hidang arak dan tidak dibenar memakai tudung sewaktu bertugas.

Beliau dalam satu kenyataan pada Sabtu berkata, pramugari terbabit datang menangis di hadapannya sewaktu menceritakan dilema yang dihadapinya semata-mata demi menyara kehidupan anak-anak pekerja tersebut.

“Saya berasa sangat simpati dan tersentuh. Lebih sedih lagi memikirkan MAB pula merupakan sebuah syarikat penerbangan milik negara kita yang majoriti penduduknya adalah Muslim.

“Sesetengah orang Melayu jika diberitahu ada syarikat tertentu yang halang wanita Muslimah daripada memakai tudung ataupun memaksa mereka menghidangkan arak, tentu akan ‘mengamuk’ sakan.

“Segala dalil dan semangat akan dihamburkan. Malangnya kita lupa syarikat penerbangan negara yang merupakan imej dan identiti Malaysia tidak benar pramugarinya bertudung dan dipaksa menghidangkan arak,” katanya.

Justeru, Mohd. Asri mengajak rakyat Malaysia memohon kepada kerajaan agar wanita Islam yang bertugas sebagai pramugari MAB diberikan keizinan untuk memakai uniform yang memenuhi sifat pakaian wanita Muslimah.

“Juga pekerja Muslim dan Muslimah tidak perlu ditugaskan untuk menghidangkan arak kepada penumpang. Terimalah itu juga sebagai hak kebebasan dalam mengamalkan agama mereka iaitu Islam.

“Bahkan MAS sepatutnya tidak wajar menghidangkan arak. Banyak syarikat penerbangan di dunia yang turut tidak menghidangkan arak, mengapa perlu kita pula menghidangkannya?” soal Mohd. Asri.

Untuk rekod, hanya terdapat empat syarikat penerbangan di dunia yang patuh Syariah sepenuhnya iaitu Saudi Airlines, Royal Brunei Airlines, Iran Air dan terbaharu, Rayani Air dari Malaysia. –Kedahnews.com