Presiden MTUC Khalid Atan Meninggal Dunia, Al-Fatihah...


KUALA LUMPUR - Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Mohd Khalid Atan, 63, meninggal dunia selepas terjatuh di dalam bilik mandi di rumahnya di 94, Jalan Permata 2, Taman Permata, Ulu Kelang di sini, pagi ini.

Menurut anak beliau Liyana, 25, bapanya terjatuh kira-kira pukul 8 pagi dan dikejarkan ke Hospital Damai Service cawangan Melawati di sini.

Beliau kemudian disahkan meninggal pada kira-kira 9.40 pagi ini oleh doktor hospital tersebut, katanya kepada Bernama di sini Selasa.

"Bapa saya tidak ada sakit apapun sebelum ini. Sejak minggu lalu dia macam biasa, tidak menunjukkan sebarang perubahan tingkah laku," katanya.

Beliau berkata jenazah bapanya akan disembahyangkan di Surau Taman Permata dan dikebumikan selepas solat Asar di Tanah Perkuburan Keramat AU4 berhampiran surau itu.

Mohd Khalid merupakan presiden MTUC sejak 29 Dis 2010 dan dipilih semula untuk penggal kedua pada 2013 sehingga kini.

Beliau meninggalkan seorang isteri Noorazah Abd Samad, 53, dan tiga orang anak. - BERNAMA