Tandas wanita di Pusat Peranginan Puncak Janing terpaksa dikongsi dengan lelaki. |
KUALA NERANG - Orang ramai yang mengunjungi Pusat Peranginan Puncak Janing kecewa dengan kemudahan tandas yang terabai hingga menimbulkan masalah kepada mereka.
Pengunjung mendakwa tandas di pusat peranginan itu tidak berfungsi menyebabkan tandas wanita terpaksa dikongsi dengan lelaki hingga menimbulkan kurang senang dalam kalangan pengunjung.
Pengunjung Bakar Ismail, 56, berkata, pihak bertanggungjawab seharusnya peka dengan kemudahan yang disediakan di situ supaya tidak menimbulkan masalah kepada pengunjung.
Katanya, ramai yang datang ke situ merungut tentang kemudahan tandas yang semakin rosak hingga terpaksa berkongsi tandas untuk menyalin pakaian .
“Saya terkejut bila diberitahu tandas wanita perlu dikongsi dengan lelaki kerana tandas lelaki dikatakan rosak dan tak dapat digunakan sejak beberapa bulan lalu berikutan tak ada air.
“Bila terpaksa berkongsi tandas, ramai pengunjung terpaksa menunggu giliran untuk masuk ke tandas," katanya.
Menurut Bakar, dia dan keluarganya memuji kebersihan yang terdapat di sekitar kawasan itu tetapi kecewa dengan kemudahan asas seperti tandas telah diabaikan oleh pihak berkenaan.
Rohani Aziz,62, pula berkata, dia kecewa dengan tandas di situ yang tidak berfungsi apabila anaknya cuba membuang air di tandas itu.
“Saya difahamkan tandas di situ telah tersumbat walaupun pihak yang menyelenggarakan ada membersihkannya. Bagaimanapun masalah tandas tersumbat dikatakan bukan tanggungjawab pihak berkenaan hingga menjadi rungutan kepada pengunjung ke situ,” katanya.
Menurutnya, jika pihak bertanggungjawab gagal membaiki tandas berkenaan di mana lagi tempat orang ramai untuk membuang air.
"Ramai yang mengunjungi pusat peranginan ini terutama pada musim cuti sekolah. Keadaan tandas yang tidak sempurna ini memalukan kalau ada pelancong datang dari luar.
"Saya berharap pihak Jabatan Perhutanan dapatlah mengatasi masalah ini secepat mungkin supaya pengunjung akan dapat berehat dan menikmati alam semula jadi dengan lebih selesa,” katanya.
Sementara itu, Sinar Harian yang membuat tinjauan di kawasan peranginan itu akan mendapat maklum balas daripada Jabatan Perhutanan dengan secepat mungkin.
Sumber: Sinar Harian