Raja Azmi Umum Rujuk Semula Dengan Bekas Suami 26 Februari Depan


SETELAH lebih setahun bergelar janda, produser terkenal Raja Azmi Raja Sulaiman mendedahkan dirinya bakal bernikah semula dengan bekas suami, Mohd Eddie Ghazali pada 26 Februari depan.

Menurut Raja Azmi, keputusan kembali semula itu dibuat selepas mendapat petunjuk dari Allah dan pada masa sama dirinya juga mencintai Eddie yang juga bekas gitaris kumpulan CRK itu.

“Saya akui jatuh cinta semula kerana dia sentiasa ada ketika saya gembira dan bersedih. Saya juga beberapa kali buat solat Istiqarah dan Alhamdulillah memang Allah beri petunjuk ke arah ini.

“Alhamdulillah, hati saya terbuka sekali lagi untuk bernikah dengannya dan berharap perkahwinan kali ini kekal hingga ke akhirat.

“Majlis akan diadakan secara kecil-kecilan dan dihadiri keluarga serta rakan-rakan terdekat, hanya akad nikah dan doa selamat sahaja,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Tambah Raja Azmi, walaupun mereka telah lebih setahun bercerai, bekas suaminya itu tidak pernah jemu berusaha membuka hatinya untuk kembali bersama.

“Saya belajar untuk lebih banyak bersabar dan dia juga sudah sedar apa kesalahan-kesalahannya dahulu. Insha’Allah kami akan bina semula rumah tangga ini dengan baik.

“Saya juga berharap orang ramai dan peminat turut mendoakan kebahagiaan kami,” katanya.

Majlis akad nikah pasangan ini akan diadakan di Surau Sering Ukay, Ukay Perdana, Ampang, selepas solat Isyak.

Raja Azmi dan Eddie mendirikan rumah tangga pada 13 Oktober 2013 sebelum bercerai pada 11 November 2014 di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Ampang, Selangor.

Sebelumnya Raja Azmi pernah mendirikan rumah tangga dengan bintang badminton beregu kebangsaan, Jailani Sidek namun bercerai pada 27 Jun 2012 setelah 28 tahun usia perkahwinan. –Kedahnews.com