Rakyat Digesa Terus Beri Sokongan Kepada Adenan Terajui Sarawak


SIBU – Penduduk Sarawak digesa supaya memberi sokongan berterusan kepada Ketua Menteri Tan Sri Dr Adenan Satem dan menjadikan sokongan itu sebagai azam tahun 2016 mereka.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti Sarawak Datuk Seri Wong Soon Koh berkata sejak mengambil alih kepimpinan negeri kira-kira dua tahun lepas, Adenan memperkenalkan sekurang-kurangnya 50 dasar baharu, sebahagian daripadanya telah dilaksanakan, bagi manfaat rakyat.

“Saya yakin di bawah kepimpinan beliau, lebih banyak pembangunan akan dilaksanakan menerusi agensi kerajaan negeri dan persekutuan,” katanya pada majlis kiraan detik 2016 di Dataran Bandar Sibu malam semalam.

Datuk Seri Wong Soon Koh
Majlis anjuran Majlis Perbandaran Sibu (SMC) itu dihadiri kira-kira 10,000 pengunjung dan dimeriahkan lagi dengan persembahan pentas serta pertunjukan bunga api.

Dalam perkembangan berasingan, Wong berpuas hati dengan pencapaian SMC sepanjang tahun 2015, apabila majlis perbandaran itu bukan sahaja menaik taraf prasarana dan kemudahan awam di Sibu, tetapi turut memperkukuhkan perpaduan rakyat menerusi pelbagai program pembangunan komuniti.

“SMC berjaya memanfaatkan peruntukan RM25 juta untuk menambah baik jalan raya serta kemudahan asas di Sibu dan paling penting, ia mewujudkan kesepakatan dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan agama,” katanya.

Beliau menggesa penduduk Sibu untuk bersama-sama kerajaan dalam membawa pembangunan lestari dan menjadikan bandar ini tempat yang kondusif bagi generasi akan datang membina kehidupan. – BERNAMA