Rakyat Juga Harus Main Peranan Pelihara Keselamatan - Mohd Najib


KUALA LUMPUR - Tugas dan tanggungjawab memelihara keselamatan tidak terletak di atas bahu anggota polis, tentera dan anggota keselamatan semata-mata, sebaliknya, rakyat juga harus memainkan peranan ke arah memastikan keamanan Malaysia terpelihara.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata antara langkah paling mudah untuk dilaksanakan adalah dengan tidak menyebarkan berita palsu atau tidak sahih yang boleh menimbulkan rasa tidak senang dan ketakutan kepada orang ramai.

"Setiap daripada kita mempunyai peranan kita sendiri, dan jika setiap seorang daripada kita memainkan peranan tersebut dengan niat serta harapan tulus dan ikhlas untuk memastikan negara yang kita cintai ini kekal aman dan terlindung daripada ancaman keganasan, Insya-Allah, dengan rahmat Allah jua, Malaysia akan terus dilindungi dan aman sejahtera."

Dalam tulisan terbaharu di blognya NajibRazak.com hari ini bertajuk 'Pengorbanan Anggota Keselamatan Serta Peranan Rakyat', Najib turut memuat naik beberapa keping gambar yang menunjukkan pasukan keselamatan sedang berkawal di beberapa lokasi.

Dalam pada itu, perdana menteri berkata dalam memantapkan soal keselamatan negara berikutan beberapa kejadian keganasan yang berlaku di negara-negara lain, masyarakat sering terlepas pandang usaha serta pengorbanan yang dilakukan anggota keselamatan dalam memelihara keamanan dan membendung kejadian tidak diingini.

Terdapat pelbagai inisiatif yang telah diambil secara proaktif oleh pasukan keselamatan, sama ada pasukan Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia serta banyak lagi agensi keselamatan lain, kata Najib.

Beliau berkata banyak kerja yang dilakukan pasukan keselamatan di belakang tabir dan di luar pengetahuan umum, tetapi yang pastinya kerja-kerja ini bertujuan untuk memastikan rakyat dan negara kekal selamat serta terlindung daripada ancaman keganasan.

"Sama-sama kita doakan Allah SWT pelihara anggota keselamatan kita ketika menjalankan tugas," katanya.  - BERNAMA