Rakyat Selangor Dakwa BN Lebih Bijak, Telus Rancang Berbanding PKR


SHAH ALAM - Kerajaan Barisan Nasional (BN) lebih pandai membuat perancangan infrastruktur ketika mentadbir Selangor, berbanding kerajaan pimpinan PKR sedia ada.

Wakil penduduk dalam gerakan bantah pembinaan Lebuhraya Damansara-Shah Alam (Dash) dan Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Klang (Suke), Mak Khuin Weng berkata, Kerajaan BN dahulu mengikut peruntukan undang-undang, dengan mengadakan mesyuarat terbuka untuk mendengar maklum balas penduduk setempat.

“Dulu, bila Kerajaan Barisan Nasional buat rancangan struktur pada 2002 hingga 2006, prosesnya adalah satu mesyuarat terbuka, di mana media pun boleh masuk dan laporkan. Maklum balas juga terbuka. Itu cara yang dibuat dahulu.

“Selepas maklum balas diberi, Kerajaan Negeri Selangor akan menulis surat untuk mengesahkan kritikan itu telah diterima dan apa yang dikritikkan akan ditukar dalam rancangan struktur yang akan diterbitkan,” katanya dalam sidang media di Bangunan Darul Ehsan, semalam.

Beliau berkata demikian selepas sesi pendengaran awam bantahan terhadap projek Dash dan Suke yang dianjurkan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Selangor.

Bagaimanapun, kata Mak, prosedur yang menjadi amalan selama ini tidak lagi diikuti kerajaan pimpinan PKR ketika ini, yang disifatkannya lebih mesra syarikat konsesi berbanding penduduk setempat.

“Sekarang ini, proses yang dilakukan tidak telus, hanya minta penduduk masuk, dengar apa penduduk cakap, tetapi tidak beri apa-apa jawapan atau surat, semuanya tidak ada.

“Jadi, apa yang akan masuk dalam rancangan struktur akhirnya kita tidak tahu. Sebab inilah penduduk sekarang gelisah. Ini kali keempat kita kena datang sini pada hari bekerja, untuk dengar benda sama,” keluhnya.

Sementara itu, seorang lagi wakil penduduk, Faisal Fadzil juga kecewa, kerana sebagai penduduk, mereka tidak dimaklumkan tentang perancangan itu dan kesan daripada keputusan pembangunan terbabit.

Jelasnya, kerajaan negeri gagal menunjukkan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) dan Penilaian Kesan Trafik (TIA) di kawasan terlibat, selain suara penduduk yang membantah projek lebuh raya itu tidak didengari.

“Kami penduduk. Adakah bantahan kita ini tak penting daripada syarikat besar, seperti Prolintas untuk buat duit 65 tahun konsesi?

“Saya rasa, kalau ikut semua surat daripada (Kerajaan) Negeri Selangor, tulis kejujuran dan ketekunan, tetapi ada bukti tak, ini (kerajaan negeri jujur).

“Kalau tak boleh jawab apa yang kita desak dan saya rasa buang sajalah perkataan itu. Membazir kertas. Apa yang kita mahukan, kita mahu kejujuran dan ketekunan untuk penduduk, bukan melindung syarikat besar,” tegasnya.

Sumber: The Rakyat Post