Rancang Bom Kota London, Pasangan Dihukum Penjara 52 Tahun


LONDON - Sepasang suami isteri yang merancang serangan di London untuk memperingati ulang tahun ke-10 pengeboman ibu kota itu pada 7 Julai lalu, dihukum penjara selama 52 tahun baru-baru ini.

Mohammed Rehman, 25, merancang meletupkan sama ada sebuah pusat beli-belah atau stesen kereta api bawah tanah menggunakan bom bersaiz dua kali ganda yang digunakan dalam serangan pada 21 Julai 2005 itu.

Isterinya, Sana Ahmed Khan, 24, membiayai projek itu dengan menggunakan gajinya untuk membeli baja yang digunakan sebagai menjadi bahan letupan oleh Mohammed yang kemudian diuji di halaman rumah mereka.

Kedua-duanya dikenakan hukuman seumur hidup selepas didapati bersalah atas tuduhan melakukan persiapan untuk melakukan keganasan.

Mohammed dikenakan hukuman penjara minimum 27 tahun manakala Sana dikenakan sekurang-kurangnya 25 tahun.

Dalam rayuan meringankan hukumannya, Sana meminta maaf dan mengaku insaf serta sudah memfailkan cerai daripada suaminya itu.

“Saya meminta maaf. Ketika itu saya tidak tahu sejauh mana perancangan Mohammed dalam hal ini. Saya kini hanya mahu memperbaiki keadaan terutama dengan keluarga dan memulakan kehidupan baru,” katanya dalam surat yang dibacakan kepada mahkamah.

Perancangan mereka terbongkar selepas Mohammed bertanya secara terbuka di Twitter meminta nasihat mengenai sasaran terbaik untuk dibom.

Tweet itu turut disertai pautan ke siaran media al-Qaeda mengenai kejadian 7 Julai 2005.

Polis yang menyerbu kediaman Mohammed di Reading, Berkshire, menemui 10 kilogram letupan nitrat, iaitu dua kali ganda jumlah digunakan dalam satu lagi kejadian letupan dirancang pada 21 Julai 2005 yang berjaya ditumpaskan pihak berkuasa. -Agensi