Remaja Tipu Diculik Diperintah Ke Sekolah Tunas Bakti 3 Tahun

Ibubapa kepada remaja perempuan berusia 14 tahun yang dituduh membuat laporan palsu penculikan keluar daripada Mahkamah Majistret Klang bersama peguam mereka (membelakangkan kamera) selepas mahkamah menjatuhkan hukuman remaja itu ditempatkan di Asrama Akhlak Tunas Bakti selama tiga tahun bermula, Khamis. - Foto BERNAMA
KLANG – Mahkamah Majistret di sini memerintahkan remaja perempuan berusia 14 tahun, yang mereka cerita kononnya dia diculik pada Disember lepas, dihantar ke Sekolah Tunas Bakti bagi menjalani pemulihan selama tiga tahun berkuat kuasa semalam.

Majistret Nor Asma Ahmad mengeluarkan perintah itu mengikut Seksyen 91 (b) Akta Kanak-Kanak 2001 selepas remaja itu mengaku bersalah ketika pertama kali dihadapkan di mahkamah itu pada 6 Jan lepas.

Prosiding mahkamah itu sebagai Mahkamah Juvana dijalankan secara tertutup.

Timbalan Pendakwa Raya Syed Farid Syed Ali memberitahu pemberita kemudian bahawa mahkamah turut mengenakan bon tanpa cagaran terhadap ibu bapa remaja perempuan itu mengikut Seksyen 93 (1)(d) Akta sama, yang memerlukan mereka melawat anak mereka sebulan sekali.

“Sekiranya mereka melanggar syarat, ibu bapa remaja perempuan itu boleh didakwa,” katanya sambil menambah lokasi Sekolah Tunas Bakti akan ditentukan kemudian.

Syed Farid berkata perintah bon itu dikeluarkan selepas majistret mendapati ibu bapa remaja perempuan itu gagal memberi perhatian kepadanya.

Semasa merayu mengurangkan hukuman, peguam Nur Aida Md Zainuddin yang mewakili remaja itu, berkata anak guamnya tidak berniat untuk menimbulkan kekecohon sebaliknya hanya mahu mendapatkan perhatian ibu bapanya.

Beliau juga memberitahu remaja itu telah insaf dan mahu membaiki kesilapannya.

Perbuatan remaja itu mereka cerita diculik dilakukan di Bandar Sultan Suleiman di sini pada 9.12 pagi 29 Dis lepas.

Dua hari kemudian, remaja itu dijumpai polis di dalam sebuah kereta bersama-sama seorang lelaki dipercayai teman lelakinya di hadapan sebuah stesen minyak di Banting dekat sini kira-kira 7.45 malam.

Pemuda berumur 19 tahun itu dihadapkan di mahkamah pada hari sama atas tuduhan melarikan remaja bawah umur.

Lelaki itu mengaku tidak bersalah ketika didakwa mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tujuh tahun dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 25 Feb depan untuk sebutan semula kes pemuda itu. Sementara itu, di mahkamah sama hari ini, Majistret Nor Asma memerintahkan seorang remaja lelaki berusia 16 tahun, yang mengaku merogol remaja perempuan itu dua tahun lepas, dihantar ke Sekolah Henry Gurney bagi menjalani pemulihan selama tiga tahun.

Syed Farid memberitahu pemberita bahawa ibu bapa remaja lelaki itu turut dikenakan bon tanpa cagaran yang memerlukan kedua-duanya melawat anak mereka sebulan sekali.

Remaja lelaki itu didakwa melakukan perbuatan itu di Bandar Sultan Suleiman kira-kira 12 tengah hari pada Disember 2014.

Ketika kejadian, remaja perempuan itu berumur 13 tahun enam bulan.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun dan juga boleh dikenakan dendam jika sabit kesalahan. – BERNAMA