Remy Ishak Lunas Hasrat Bawa Ibu Tunai Umrah Hujung Bulan Ini

REMY Ishak bersama ibunya. - Foto Instagram
Pelakon kacak, Remy Ishak membayangkan bahawa tahun 2016 bakal membawa banyak perkara baru bagi dirinya.

Antara perkara baru yang utama dinyatakan Remy adalah hasratnya untuk menunaikan janji membawa ibunya menunaikan ibadah umrah pada penghujung Januari ini.

Kata pelakon itu, gara-gara sering sibuk dengan kerjayanya sebagai anak seni, janjinya terhadap ibu sering tertangguh dan kali ini dia nekad untuk memenuhi hajat membawa ibunya ke "Al-Haramain" menunaikan umrah.

"Saya sudah lama menyimpan hajat untuk membawa ibu menunaikan umrah di Makkah. Alhamdulillah, tahun 2016 membuka tirai dengan perkara baik dan sekali gus saya dapat menunaikan janji yang sudah lama tertangguh kepada ibu.

"Biarpun jadual kerja saya agak padat pada bulan ini, namun tanggungjawab sebagai seorang Muslim untuk melawat tempat Nabi harus diutamakan.

"Jadi, sehari selepas menjalani penggambaran di New York, saya akan ke Makkah pula," katanya.

Selain itu, Remy turut meluahkan rasa syukur kerana diberi peluang oleh Allah SWT untuk berkunjung ke "rumahNya" di kala kesihatannya masih baik dan berjanji akan sentiasa menjaga adab di sana nanti.

"Semoga perjalanan saya ke Tanah Suci akan dipermudahkan dan segala urusan berjalan lancar. Saya teruja kerana berpeluang untuk ke sana dengan kesihatan yang masih baik.

"Walaupun pelbagai cerita singgah ke telinga, apa yang penting sebagai umat Islam kita perlu menjaga adab dan akhlak sepanjang berada di sana.

“Apatah lagi tujuan kita ke sana adalah untuk beribadat dan mendekatkan diri dengan agama,” jelasnya. -Kedahnews.com