Rogol: Sister In Islam, AMK Bidas Pandangan Dewan Ulama PAS


KUALA LUMPUR – Pertubuhan (NGO) agama yang dilabel sebagai propembangkang, Sisters in Islam (SIS) menyelar pandangan ulama PAS bahawa perkahwinan adalah jalan terbaik untuk menangani kes rogol.

SIS dalam satu kenyataan media menegaskan, pandangan oleh Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Datuk Khairuddin Aman Razali itu boleh menjejaskan emosi mangsa kes rogol bawah umur.

“Kenyataan beliau yang menunjukkan bahawa kes-kes rogol bawah umur kebanyakannya kes suka sama suka adalah tidak bertanggungjawab dan mengelirukan.

“Rogol tidak boleh menjadi rela walaupun seorang gadis bawah umur tidak menyatakan tidak dalam kes rogol,” kata kenyataan itu semalam.

Khairuddin dalam satu kenyataan baru-baru ini berkata, perkahwinan adalah ubat paling mujarab untuk menangani isu rogol statutori.

Beliau menyarankan ibu bapa memberi sokongan kepada anak-anak yang ingin berkahwin, manakala kerajaan perlu memberikan bantuan insentif kepada mereka.

Kenyataan Khairuddin itu turut dikecam oleh Biro Pemantapan dan Pemahaman Agama Angkatan Muda Keadilan (AMK).

Bagi Biro Pemantapan dan Pemahaman Agama AMK berkata, perkahwinan tidak boleh menyelesaikan kes rogol.

SIS dalam pada itu menegaskan, Islam tidak membenarkan perkahwinan bawah umur terutama jika ia perogol yang mahu mengahwini mangsanya.

“Perkahwinan dalam Islam adalah tentang cinta, kasih sayang, saling menghormati dan tanggungjawab bersama antara suami dan isteri,” kata kenyataan itu. – Kedahnews.com