Komposer, Saari Amri. |
SINGAPURA – Ramai mungkin tidak tahu bahawa beliau antara rakyat Malaysia pernah bekerja sebagai buruh binaan di Singapura. Namun beliau kemudian menjadi sangat terkenal, itulah komposer Saari Amri.
Sebut sahaja namanya, pasti ramai kaitkan beliau dengan ramai penyanyi era 1990-an seperti Ziana Zain (Madah Berhelah, Kekal) dan Azie (Pelamin Anganku Musnah, Kau Tetap Dalam Anganku) dan Ella (Sembilu).
Juga Ukays (Di Sana Menanti Di Sini Menunggu, Seksa), Nike Ardilla (Duri Terlindung) Umbrella (Ramalanku Benar Belaka), Slam (Kembali Terjalin, Gerimis Mengundang) dan Aris Ariwatan (Lamunan Terhenti).
Tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa beliau salah seorang komposer serta penulis lirik yang paling popular dan pernah hidup mewah daripada royalti yang beliau peroleh dari penciptaan lagu-lagu hits ketika itu.
Apa yang pasti, lagu-lagu ‘malar hijau’ Saari Amri atau nama sebenarnya, Saari Jusoh itu banyak masih lagi diputarkan di corong stesen radio bukan sahaja di Malaysia, malahan negara jirannya, Singapura dan Brunei.
Malangnya Saari Amri ditimpa kemalangan ngeri pada November 1996 apabila motosikal berkuasa tinggi yang ditunggangnya terbabas sehingga terlantar dalam keadaan koma selama tiga minggu dan hilang ingatan seketika.
Nahas itu ternyata merobah segala-galanya. Apakah Saari Amri terpinggir dan sudah tidak lagi relevan lagi dalam industri hiburan masa kini? Apakah ‘sentuhan emas’ beliau juga sudah kurang menyengat?
Mungkinkah lagu-lagu ciptaan beliau tidak lagi diingini oleh penyanyi kini? Adakah beliau juga dipinggirkan penyanyi-penyanyi yang pernah popular menerusi lagu-lagu ciptaan beliau selama ini?
Saari Amri yang kini berusia 50 tahun itu dihubungi agensi berita rasmi milik pemerintah Mediacorp Singapura menerusi panggilan jauh ke Kuala Lumpur dengan tenang hanya menjawab: “Saya masih lagi berkarya!
“Tapi ada lagu-lagu yang sudah siap seperti lagu Lahirmu Untuk Dia (Aris Ariwatan) susah nak ‘keluar’. Susah sekarang sebab orang tak suka beli album kini, mereka suka muat turun lagu.”
Terang insan seni yang berasal dari Tanah Merah, Kelantan itu, penyanyi Amir Ukays dan Zamani dari kumpulan Slam antara segelintir penyanyi yang pernah berjumpa beliau untuk meminta lagu sebelum ini sebenarnya.
Saari Amri pula masih berpegang pada prinsipnya dari tahun 1990-an lagi bahawa selalunya, beliau yang akan mencari artis untuk diberikan lagu ciptaannya, bukan penyanyi itu yang kena bersusah payah mencarinya.
Makanya, tidak timbul isu bahawa beliau dipinggirkan oleh mana-mana pihak. Katanya baru-baru ini: “Saya tak kisah. Saya tak terbitkan album kini pun tapi saya dah banyak buat lagu.
“Hampir 600 buah lagu ciptaan saya dalam pasaran. Royalti dari lagu itu cukup untuk menampung saya. Setahun adalah RM200,000. Itulah tukar kereta setiap tahun. Mercedes dan lain-lain.
“Orang hairan saya tak bekerja tapi kereta bertukar-tukar. Saya cuma kata dulu saya bekerja kuat, sekarang masa saya nak rileks saja.”
Bapa kepada empat orang anak tersebut tidak menafikan, itulah lumrah kehidupan, apabila senang ramai yang mendekatinya semata-mata untuk meminjam duit.
Tidak kurang pula yang meminta Saari Amri menjadi penjamin sehinggakan nama beliau pernah banyak disenaraihitamkan oleh pihak bank apabila ‘sahabat-sahabat’ itu menghilangkan diri sehingga kini.
“Orang industri ada berhutang dengan saya sampai ratusan ribu ringgit pun tak bayar. Rakan-rakan saya ada yang nak pergi pukul orang ini tapi saya kata jangan,” ujar Saari Amri.
Apabila ditanya pengalaman terlibat nahas ngeri motorsikal yang hampir meragut nyawanya pada 1996 sehingga mengalami ‘darah beku keseluruhan badan’, Saari Amri mendakwa ‘disantau’ sebelum kemalangan itu berlaku.
“Seminggu sebelum kemalangan, saya dah muntah-muntah darah. Dulu tak percaya benda ni. Pergi hospital doktor kata sihat. Doktor pun tak percaya. Pada malamnya sehari sebelum kemalangan, saya nampak tengkorak.
“Keesokan harinya apabila bawa motosikal, saya tak nampak betul,” kata Saari Amri. Setelah beliau keluar dari hospital, beliau ‘berubat’ dan diberitahu bahawa beliau memang disantau sebenarnya.
Tambah Saari Amri terus membuka cerita: “Saya ada keluarga. Kalau saya bujang saya sudah beli pedang hendak balas balik orang tu. Nasib baik saya ada kawan yang pujuk saya ketika itu.”
Selain membesarkan anak-anak bersama isterinya yang bernama Senorita Abdul Rahman, Saari Amri juga bantu pesakit kencing manis yang datang berjumpa beliau sejauh dari Singapura, Indonesia dan dari seluruh Malaysia.
Ramuan khas yang beliau ingin rahsiakan sangat untuk pesakit kencing manis, suatu kepandaian yang diturunkan sendiri oleh arwah ibu beliau.
Saari Amri berkata beliau asalnya berjaya membantu ibu mertuanya sendiri sebelum berkembang kepada ramai pesakit lain dari pelbagai bangsa. Pesakit hanya perlu memakan ramuan yang disiapkan oleh Saari Amri.
Kata Saari Amri dengan penuh yakin: “Ada sesetengah yang pernah makan, kandungan gula mereka turun dari 20 ke 10. Saya beri percuma saja.” – Agensi