KOTA BHARU – Saman RM1 juta akan dikenakan terhadap mana-mana syarikat pengeluar baju di negara ini jika didapati menciplak jersi rasmi baharu skuad Kelantan iaitu Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW).
Amaran keras itu diberikan pengasas Vida Beauty Sdn. Bhd., Datuk Seri Dr Hasmiza Othman atau Dr. Vida terhadap mereka yang cuba meniru jersi keluarannya termasuk logo rasmi atau nama produk seperti Pamoga.
Penasihat Kehormat Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) itu memaklumkan, beliau terpaksa bertegas mengenai perkara berkenaan kerana tidak mahu imej syarikatnya pula tercemar jika disalahgunakan oleh pihak tertentu.
Dr. Vida berkata, walaupun jersi keluarannya masih belum lagi berada di pasaran, langkah awal perlu diambil bagi mengelakkan pihak yang tidak bertanggungjawab daripada mungkin mahu mengambil kesempatan.
Katanya, atas alasan itu, pihaknya tidak mempamerkan jersi terbaharu PQPTRW menerusi mana-mana laman sosial seperti Facebook dan Instagram kerana tidak mahu perkara berkenaan terdedah kepada umum.
“Saya sendiri akan tampil lancar dua versi jersi dengan 20,000 helai akan dikeluarkan untuk edisi pertama sempena perlawanan pertama liga Malaysia bermula 12 Februari,” katanya yang dipetik Harian Metro.
“Jersi tradisi Kelantan merah-putih serta merah jambu-putih akan digunakan bagi perlawanan tempat sendiri. Manakala jersi merah jambu-hitam dan biru-putih putih pula akan digunakan di tempat lawan,” katanya.
Berikutan kenyataan pengasas Qu Puteh itu, ia sekali gus menamatkan spekulasi di media sosial kononnya Dr. Vida bercanggah pendapat dengan pengurusan KAFA mengenai penggunaan warna jersi PQPTRW musim ini.
Dr. Vida dijangka hadir buat julung kali di Stadium Sultan Muhammad IV di sini untuk perlawanan persahabatan bertemu Kuala Lumpur pada 2 Februari selain sesi perkenal pemain oleh Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa.
Dalam perkembangan sama, Dr. Vida akan menyarankan KAFA supaya jaring gol pintu gawang di stadium itu juga dapat ditukar daripada warna asalnya putih kepada merah jambu seperti dilakukan Johor Darul Ta’zim (JDT).
Beliau mendapat ilham itu selepas agak tertarik dengan konsep di stadium pasukan JDT tersebut yang turut menukarkan warna jaring gol mereka kepada merah dan biru iaitu warna asas skuad Harimau Selatan itu.
Katanya, penukaran warna jaring gawang itu mungkin tidak salah kerana sedondon dengan stadium dan juga jersi pasukan, bahkan, bakal tampak ceria dan semangat sebaik dipancarkan dengan lampu limpah merah jambu.
“Apapun, ia bergantung kepada keputusan KAFA dan PSK (Perbadanan Stadium Kelantan) sama ada dibenarkan atau tidak penggunaan warna merah jambu untuk jaring gol, tetapi saya rasa ia tiada masalah,” jelasnya lagi. – Agensi