Saudi Air Larang Wanita Saudi Mohon Jawatan Pramugari Di Syarikatnya


JEDDAH – Di sebalik kejelitaan ramai pramugari Saudi Arabian Airlines atau Saudia, tidak ramai tahu bahawa syarikat penerbangan negara itu tidak pernah menawarkan pekerjaan tersebut kepada wanita Arab Saudi sendiri.

Perkara yang cukup mengejutkan tersebut didedahkan oleh penolong pengurus besar perhubungan awam dan juga jurucakap syarikat udara nasional berkenaan, Abdulrahman Al-Fahad kepada portal berita tempatan, Arab News.

Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan sebab mengapa Saudia tidak berbuat demikian waima mereka pada masa sama boleh pula menggaji mahal ramai wanita asing bagi mengisi jawatan sebagai pramugari sejak sekian lama.

Menurut beliau, wanita tempatan cuma boleh di bahagian khidmat pelanggan atau tempahan tiket syarikat itu di Arab Saudi dan semua lapangan terbang domestik, serta bekerja di pejabat yang khusus untuk staf wanita sahaja.


Arab News melaporkan, Abdulrahman bagaimanapun tidak pula mendedahkan sama ada Saudia akan memberi kebenaran kepada wanita Saudi untuk bekerja sebagai pramugari atau di kaunter daftar masuk pada masa depan.

Beliau menambah, pihaknya mengalu-alukan sejumlah pertanyaan tentang pengambilan pekerja wanita Arab Saudi untuk jabatan jualan atau komersial syarikat itu, serta dalam sektor kewangan atau teknologi maklumat.

Namun, Abdulrahman menarik perhatian, wanita Arab Saudi sudah membuktikan pencapaian dan dedikasi mereka dalam pelbagai bidang kerjaya lain, serta menunjukkan prestasi pekerjaan yang cukup bermutu tinggi.

Contoh iklan kekosongan jawatan sebagai pramugari di Saudi Arabian Airlines.
Laman web Saudia baru-baru ini mengiklankan mengenai pelbagai kekosongan jawatan di salah satu jabatannya namun untuk karier pramugari, perkara itu hanya terbuka kepada wanita yang bukan warganegara Arab Saudi.

Syarikat milik kerajaan Arab Saudi itu yang berpusat di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz di sini ditubuhkan pada 1945 lalu dan kini memiliki sejumlah 163 pesawat serta terbang ke 126 destinasi serata dunia.

Malah ia juga ialah operator penerbangan bertaraf patuh syariah sepenuhnya yang pertama di dunia sebelum disusuli Iran Air (1961), Royal Brunei Airlines (1975) dan paling baharu iaitu Rayani Air dari Malaysia (2015).

Saudia merupakan syarikat penerbangan ketiga terbesar di rantau Asia Barat dari segi pendapatan bersih selepas jirannya iaitu Emirates dari Emiriah Arab Bersatu dan Qatar Airways dari Qatar. – Agensi