Semua Petugas Media Dilarang Masuk Ke Wisma Darul Aman


ALOR SETAR - Semua petugas media dilaporkan telah dilarang dari memasuki kawasan bangunan Wisma Darul Aman, di sini untuk membuat sebarang liputan terhadap Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Kedah.

Mesyuarat Exco kali ini dikatakan menjadi tumpuan media ekoran konflik Menteri Besar Kedah yang berlanjutan sejak minggu lalu dan sedang hangat diperkatakan sehingga kini.

Memetik laporan Sinar Harian, larangan terhadap media itu berkuatkuasa pada hari ini atas arahan pihak pengurusan.

Petugas media dikatakan telah mula berkumpul di perkarangan Wisma Darul Aman seawal jam 8.40 pagi tadi, namun bagaimanapun hanya dibenarkan berada di luar pagar bangunan berkenaan sahaja.

Setakat jam 9 pagi belum ada mana-mana Exco yang kelihatan memasuki bangunan Wisma Darul Aman.

Bagaimanapun, Speaker Dun Kedah, Datuk Md Rozai Safian sempat dilihat memasuki bangunan tersebut kira-kira jam 9.25 pagi. -Kedahnews.com