Senarai Calon SPDP Hampir Siap, Hanya Tinggal Bekenu & Batu Danau

Presiden SPDP, Datuk Seri Tiong King Sing
MIRI - Senarai calon Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-11 nampaknya hampir siap dengan hanya kerusi Bekenu dan Batu Danau masih menjadi teka-teki.

Mengikut tradisi SPDP, satu daripada parti komponen Barisan Nasional (BN), telah diperuntukkan lapan kerusi iaitu Tasik Biru, Krian, Meluan, Pakan, Bekenu, Marudi, Batu Danau dan Ba'Kelalan.

Pada April tahun lepas, Presiden SPDP, Datuk Seri Tiong King Sing telah mengumumkan lima calon - peguam Cila Nasu bagi Tasik Biru; peguam Kilat Beriak (Krian); jurukur bahan Belayong Jampong (Meluan); ahli perniagaan Brian Fung (Pakan) dan peguam Fabian Andrew Sigar (Ba kelalan).

Calon terkini yang disenaraikan ialah sebagai calon SPDP bagi kerusi Marudi ialah Datuk Dr Penguang Manggil, bekas setiausaha tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti Sarawak yanga telah bersara tahun lepas.

Pada majlis sambutan Krismas dan Tahun Baharu di Rumah Berauh, Sungai Entulang, Marudi semalam, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Persekutuan, Anthony Nogeh Gumbek, yang juga Setiausaha Agung SPDP, mengesahkan bahawa Penguang ialah calon SPDP dan BN bagi kerusi Marudi.

"Memandangkan 3,000 orang berkumpul di sini hari ini, ia menjadi bukti kukuh bahawa penduduk di Marudi bersedia untuk memberi sokongan penuh kepada Penguang untuk menggantikan wakil rakyat sekarang," kata beliau.

Menteri Muda Kemudahan Awam (Bekalan Air) Sarawak, Datuk Sylvester Entri Muran ialah penyandang kerusi Marudi yang meninggalkan SPDP dan kemudian menyertai Teras, parti yang mesra BN.

Selain Tiong dan Nogeh, turut hadir pada upacara tersebut ialah Ketua Sayap Wanita SPDP, Datuk Chew Yen Chew, Ketua Sayap Pemuda, Robert Ayu, wakil parti-parti komponen BN yang lain, pemimpin masyarakat dan ketua rumah panjang. - BERNAMA