Serangan Bom Di Jakarta: Singapura Perketatkan Lagi Kawalan Keselamatan


SINGAPURA – Pihak berkuasa Singapura pada Khamis dilapor telah memperketatkan tahap keselamatan di republik pulau kecil itu susulan siri letupan ganas yang menggegarkan ibu kota Indonesia lewat pagi 14 Januari.

Demikian menurut Timbalan Perdana Menteri, Teo Chee Hean yang juga Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, menerusi catatan Facebooknya serta dipetik stesen penyiaran milik pemerintah, Channel NewsAsia.

Beliau malah menyatakan telah menelefon rakan sejawatannya di Indonesia, Menteri Penyelaras bagi Ehwal Politik, Undang-undang dan Keselamatan Negara, Luhut Pandajaitan susulan serangan pengganas di Jakarta itu.

Chee Hean turut mengutuskan kawat takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dalam pengeboman nekad itu yang setakat ini sudah menyebabkan tujuh orang termasuk anggota polis Indonesia dan warga asing terbunuh.

“Sebagai rakan dan negara jiran yang dekat, kami turut berdukacita atas nyawa terkorban dan mereka yang cedera. Kami juga bersetuju untuk meningkatkan kerjasama dalam isu keselamatan bagi kedua-dua negara,” jelas beliau.

Chee Hean menambah bahawa beliau sedang memantau perkembangan di Indonesia “dengan penuh prihatin” dan telah pun mengarahkan tahap keselamatan awam di Singapura dipertingkatkan sebagai langkah pencegahan awal.


“Kita semua boleh membantu antara satu sama lain dengan sentiasa berwaspada. Mari kita berdiri bersama-sama dan bersatu dalam memerangi ancaman pengganas,” tambah beliau lagi menerusi catatan laman sosial tersebut.

Sementara itu, Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) menerusi satu kenyataan rasmi dalam Facebook pasukan keselamatan tersebut menyatakan bahawa SAF meningkatkan kawalan keselamatan ekoran serangan di Jakarta.

“Askar-askar tetap kami yang sedang bertugas akan diarahkan untuk melakukan pemeriksaan rapi terhadap apa sahaja yang mencurigakan dan bakal bertindak mengikut prosedur sedia ada sekarang ini,” jelas pihak SAF lagi.

Singapura memiliki 2.1 juta anggota tentera termasuk 1.4 juta anggota simpanan yang mampu dikerah berkhidmat sepenuh masa sekiranya berlaku keadaan perang secara terbuka di luar jangkaan. – Agensi