Sesi Persekolahan Bermula, Rutin Baharin Di Tasik Chini Kembali Sibuk

Gambar Hiasan
PEKAN – Rutin pagi Baharin A/L Sunta, 60, kembali sibuk hari ini, kerana beliau perlu menghantar 30 ‘anak’ ke sekolah dengan menaiki bot merentasi Tasik Chini, di sini.

Baharin dari suku Orang Asli Jakun berkata beliau bangun pada pukul 5.30 pagi untuk bersiap-siap dan memeriksa bot supaya tidak mengalami masalah semasa menghantar pelajar ke Sekolah Kebangsaan Tasik Chini di sini.

Tiga puluh pelajar itu tinggal di Kampung Melai, Kampung Chendahan dan Kampung Tanjung Puput di sini, dan kesemua mereka perlu tiba di sekolah selewat-lewatnya pukul 7.30 pagi.

“Saya hantar pelajar dari (kampung) Chendahan dan Tanjung Puput dahulu kerana mereka lebih dekat. Kemudian baharu saya ke Kampung Melai yang terletak 4 kilometer dari Jeti Kampung Gumum di sini,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Baharin menambah beliau mula mengemudi bot pelajar itu sejak tahun 2000, namun berhenti pada tahun 2008 sebelum kembali bekerja pada tahun 2013 selepas dipelawa ekoran kematian pemandu bot terdahulu.

Katanya sebagai langkah keselamatan, semua pelajar diarahkan untuk memakai jaket keselamatan meskipun mereka pandai berenang bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

“Tahu sahajalah kita membawa budak. Ada masanya mereka bergurau secara keterlaluan di atas bot atau cuba bermain dengan air. Itu yang kita bimbang dan kena garang menegur supaya mereka duduk diam,” katanya.

Baharin bersyukur kerana tiada masalah besar pernah berlaku sepanjang beliau bertugas menghantar dan mengambil pelajar, kecuali bot rosak semasa membawa pulang kanak-kanak itu beberapa tahun lalu.

Anak jati Kampung Tanjung Puput di sini menambah, pada masa itu, beliau terpaksa menghubungi rakannya supaya mencari bot yang boleh digunakan untuk menjemput mereka di tengah-tengah tasik.

“Nasib baik di tengah tasik ada isyarat telefon bimbit,” katanya sambil ketawa.

Baharin menambah beliau berharap dapat memasang atap pada bot sumbangan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) yang digunakannya sekarang bagi keselesaan pelajar kerana berasa kasihan melihat mereka berpanas dan basah semasa hujan.

“Jika hujan di tengah perjalanan, pelajar akan memakai pakaian basah ke sekolah dan jika lebat, buku juga basah. Saya ada beritahu ibu bapa supaya belikan mereka baju hujan supaya senang disimpan di dalam beg dan digunakan bila perlu,” katanya.

Baharin menambah beliau membelanjakan kira-kira RM30 sehari untuk minyak bot dan pemeriksaan berkala dilakukan bagi memastikan bot tidak meragam memandangkan bengkel bot itu terletak di Kuantan.

Katanya beliau tidak mahu terlalu kerap menghantar bot ke Kuantan kerana selain risau dengan kos, Baharin juga bimbang dengan tempoh masa yang diperlukan kerana kali terakhir beliau menghantar bot, ia perlu ditinggalkan selama 15 hari di bengkel.

Ditanya aktivitinya semasa pelajar berada di sekolah, Baharin berkata beliau lazimnya akan berada di kawasan berhampiran sekolah, jika tidak mempunyai urusan lain yang perlu diselesaikan.

“Saya selesa berada di depan pintu pagar sekolah apabila sekolah tamat kerana mereka akan segera keluar. Jika saya menunggu di jeti, pelajar ini akan mengambil masa bermain-main di sekolah sebelum pulang,” katanya. – BERNAMA