"Spin Media Kumpulan Pro Mukhriz Melampau" - Tun Faisal Ismail

Bekas Pengerusi Unit Media Baru (UMB) Pergerakan Pemuda UMNO Pusat, Tun Faisal Ismail Aziz
Bekas Pengerusi Unit Media Baru (UMB) Pergerakan Pemuda UMNO Pusat, Tun Faisal Ismail Aziz mendakwa putar belit kumpulan media pro-Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir sebagai melampau kerana menafikan segala kerja keras para pemimpin dan akar umbi UMNO untuk menawan kembali negeri Kedah dari PAS.

Katanya, adalah tidah wajar untuk menafikan titik peluh para pemimpin dan akar umbi UMNO di pelbagai peringkat di negeri Kedah dengan mengatakan kononnya Kedah berjaya dirampas hanya kerana faktor Mukhriz sahaja.

"Bagi saya spin media kumpulan pro Mukhriz ini agak melampau kerana mereka telah menafi dan meremehkan kerja keras yang dibuat oleh ramai pemimpin UMNO dan BN di pelbagai peringkat di negeri Kedah untuk menyerang kerajaan Pas dan Pakatan di Kedah di bawah kepimpinan arwah Ustaz Tan Sri Azizan Razak.

"Mereka juga menafikan khidmat bakti pemimpin UMNO Kedah yang berusaha menawan semula hati rakyat Kedah di dalam keadaan serba kekurangan sebagai sebuah parti pembangkang.

"Logiknya hanya meletakkan seorang anak bangsawan belum tentu membolehkan BN dapat menawan semula Kedah," tulis Tun Faisal Ismail sebagaimana yang dipetik dari laman sosial rasmi Facebooknya hari ini.

Berikut adalah kenyataan penuh beliau; -Kedahnews.com
Kemenangan BN di Kedah ditentukan oleh Mahathir, Mukhriz?

Dalam seminggu dua ini didapati kumpulan pro Datuk Seri Mukhriz Mahathir dilihat begitu sibuk menyebarkan posting yang mengagung-agungkan seorang individu yang kononnya menjadi penyebab kemenangan BN di Kedah dan 'bakal' mengakibatkan kekalahan BN di Kedah pada masa hadapan. Tun Dr Mahathir turut membuat jangkaan kononnya tindakan ke atas Mukhriz akan mengakibatkan kekalahan BN di Kedah dan kenyataan ini disambut dengan sorakan gembira kumpulan pro Mukhriz.

Bagi saya spin media kumpulan pro Mukhriz ini agak melampau kerana mereka telah menafi dan meremehkan kerja keras yang dibuat oleh ramai pemimpin UMNO dan BN di pelbagai peringkat di negeri Kedah untuk menyerang kerajaan Pas dan Pakatan di Kedah di bawah kepimpinan arwah Ustaz Tan Sri Azizan Razak. Mereka juga menafikan khidmat bakti pemimpin UMNO Kedah yang berusaha menawan semula hati rakyat Kedah di dalam keadaan serba kekurangan sebagai sebuah parti pembangkang. Logiknya hanya meletakkan seorang anak bangsawan belum tentu membolehkan BN dapat menawan semula Kedah.

Bagaimana saya tahu? Pertama, sebagai Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia pada ketika itu, saya terlibat di dalam PRK Bukit Selambau. Saya diberi tanggung jawab membantu Pemuda UMNO Bahagian Merbok di 3 Pusat Daerah Mengundi. Saya turut dibantu oleh Pemuda UMNO Balik Pulau, Pemuda UMNO Bahagian Kulim Bandar Baharu, Padang Serai dan Baling. Walaupun dalam keadaan serba kekurangan, saya kagum dengan semangat dan kecekapan gerak kerja Pemuda UMNO 3 bahagian di Kedah ini. Berkat semangat dan kesungguhan dalam PRK tersebut, BN menang di dua PDM dan mengurangkan sedikit majoriti PKR di satu PDM lagi.

Kedua, dalam Retreat pertama Majlis Tertinggi dan Bahagian di ILMU, Janda Baik selepas pemilihan UMNO tahun 2009, sebagai orang luar, saya dapat melihat semangat kepimpinan UMNO empat peringkat yang begitu tinggi. Dengan menggunakan tag line 'BN Menang, Kedah Senang', pembentangan pasukan Kedah amat baik dan tersusun. Walaupun diperli oleh pemimpin-pemimpin tertentu semasa pembentangan, saya dapat perhatikan mereka tetap fokus dan semangat ini dibawa sehingga ke akhir retreat.

Ketiga, selaku Pengerusi Unit Media Baru (UMB), Pemuda UMNO pusat saya turut terlibat membantu gerak kerja peperangan siber dengan izin dan penglibatan Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah, selaku pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah dan Datuk Ir Nawawi Ahmad. 5 program pembangunan jentera siber dan Team Media Kedah (yang asal) di bawah pengawasan dan bantuan UMB telah dibentuk dari program ini. TMK (asal) ketika itu sedikit sebanyak telah memainkan peranan dalam gerak lerja siber bersama-sama pasukan media siber Kedah yang lain bagi menyerang kepimpinan PR Kedah menjelang dan semasa PRU13. Saya boleh menjadi saksi kepada semangat dan kerja kuat pemimpin dan jentera siber UMNO Kedah ketika itu walaupun berada dalam serba kekurangan sebagai pembangkang di negeri Kedah.

Benarkah BN menang di Kedah kerana Mukhriz? Saya rasa kesimpulan ini tidaklah adil kepada pemimpin Kedah yang lain dan adalah 'overstatement'. Sekurang-kurang ada 3 senario di Kedah yang menyanggah andaian ini.

Pertama, kemenangan BN di Kulim-Bandar Baharu dengan majoriti 1,871 undi dan 2 kerusi DUN yang dikatakan banyak berkait rapat dengan pengaruh, jasa dan usaha Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir serta keluarganya di sini.

Kedua, kemenangan Datuk Abdul Azeez Rahim di Baling dengan majoriti sebanyak 5,185 undi dan 2 kerusi DUN sudah tentu dikaitkan dengan usaha keras beliau membela kebajikan rakyat di kawasan tersebut selepas bangkit dari kekalahan pada PRU12.

Ketiga, kemenangan Datuk Seri Mohd Johari Baharom di Parlimen Kubang Pasu dengan majoriti 10,444 undi dan kedua-dua kerusi DUN walaupun bahagian ini didakwa kononnya sebagai bahagian yang telah mengkhianati Tun Dr Mahathir dan menyekat kenaikan Mukriz.

Secara bandingan, kemenangan BN di P5 Jerlun adalah melalui majoriti 3,270 undi. Manakala kemenangan di N3, Kota Seputeh adalah dengan majoriti 2,238 undi dan kemenangan Mukhriz sendiri di N4 Ayer Hitam adalah dengan majoriti 2,446 undi.

Kumpulan pro Mukhriz perlu kembali kepada realiti dan bersikap adil kepada ramai pihak lain yang telah bertungkus lumus mengembalikan Kedah di bawah pentadbiran BN.