Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaludin |
ALOR SETAR - Struktur bumbung rumah yang kelihatan seperti lambang salib di Langkawi sudah dicat semula selepas gambar itu menjadi viral di laman sosial.
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaludin menerusi akaun twitternya, merakamkan gambar terbaharu struktur bumbung yang siap diubahsuai, di hadapan perumahan itu yang sebelum ini menimbulkan kekecohan di laman sosial.
Khairy juga berpendapat, orang ramai terlalu banyak membuang masa dengan isu-isu bodoh seperti itu.
Antara kapsyen Khairy; “Rumah-rumah yang ada ‘salib’ di Langkawi. Sekarang telah dicat semula selepas kecoh (Now repainted after the uproar). Kita terlalu banyak membuang masa dengan isu-isu bodoh (We waste too much time on stupid issues).
Sementara Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Rehda) Kedah/Perlis, Datuk Rick Cheng Wooi Seong berkata, pemaju projek perumahan itu sedang melakukan kerja-kerja ubahsuai sejak kelmarin dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh dua minggu.
“Saya harap tindakan pantas pemaju mengecat semula struktur bumbung rumah terbabit akan meredakan isu ini dan berharap semua pihak berpuas hati kerana pemaju cuba memperbetulkan keadaan sebaik mungkin,” katanya, kelmarin.
Menurutnya, Rehda berharap isu itu selesai dan tidak lagi dipanjangkan kerana kelak boleh memberi impak negatif terhadap industri perumahan dan pemaju di negeri ini.
“Walaupun pemaju berkenaan bukan bawah Rehda dan bukan dari negeri ini, Rehda tampil membantu atas dasar tanggung jawab demi industri. Saya harap pihak luar jangan lagi memberi tekanan kepada pemaju, berikan ruang kepada pemaju menyelesaikan isu terbabit,” katanya.
Projek perumahan hampir siap di Kelibang, berdekatan Kuah itu mula viral di laman sosial sejak 22 Disember lalu, di mana beberapa unit dibina di sepanjang pantai dan apabila dilihat dari jauh, seolah menyerupai ciri salib pada bumbung yang menghadap ke laut.
Ramai pihak tampil menyatakan rasa tidak puas hati manakala sebahagian menyifatkan ia berlaku secara kebetulan. Struktur berkenaan berkemungkinan adalah saluran air hujan, saluran udara atau untuk pencahayaan.
Sebelum ini, kerajaan negeri Kedah menggesa pemaju syarikat perumahan itu memperbetulkan semula struktur binaan yang kelihatan seperti simbol salib kerana tidak mahu isu berlarutan.
Exco Perumahan, Datuk Tajul Urus Mat Zain meminta pemaju melihat semula masalah ini dan memperbetulkan struktur kerana melibatkan isu sensitif.
Berdasarkan pandangan kasar, lambang salib itu terbentuk pada dinding pembahagian antara rumah dengan lubang pengudaraan di tingkat atas.
Sumber: Sinar Harian