SUARAM Kecewa Status 3 Kanak-Kanak Dikekalkan Penganut Islam


KUALA LUMPUR – Pertubuhan propembangkang, Suara Rakyat Malaysia (Suaram) kecewa dengan keputusan Mahkamah Rayuan mengekalkan kesahihan penukaran agama tiga kanak-kanak kepada Islam pada Disember, akhir tahun lalu.

Sevan Doraisamy
Pengarah Eksekutifnya, Sevan Doraisamy berkata, keputusan Mahkamah Rayuan membenarkan kanak-kanak itu kekal sebagai Islam melanggar hak-hak asasi ibu kanak-kanak berkenaan.

“Keputusan membenarkan penukaran unilateral bawah umur tanpa sebarang cabaran oleh Mahkamah Rayuan boleh dilihat sebagai kegagalan dalam menegakkan prinsip Konvensyen Hak Asasi Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCRC).

“Apa-apa keputusan oleh Mahkamah harus mencerminkan prinsip-prinsip UNCRC dan meletakkan kepentingan terbaik kanak-kanak itu sebagai keutamaan dalam proses membuat keputusan,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Doraisamy menegaskan, semua agensi kerajaan perlu mengambil langkah-langkah yang sesuai untuk memastikan kanak-kanak diberi persekitaran yang ideal untuk belajar dan berkembang.

Tiga kanak-kanak terbabit dibawa masuk Islam oleh bapanya, Muhammad Riduan Abdullah yang asalnya bernama K. Patmanathan tanpa pengetahuan atau izin isterinya, guru tadika M. Indira Gandhi.

Media pada 30 Disember lalu melaporkan Mahkamah Rayuan mengekalkan yang kesahihan penukaran agama tiga anak oleh bapa Muslim mereka itu. –Kedahnews.com