Sultan Johor Beri Dana Suntikan RM50 Juta Kepada Pasukan JDT

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar
KUALA LUMPUR – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan memberi dana sebanyak RM50 juta kepada pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) bagi mengharungi saingan Liga Malaysia musim ini.

Laman Facebook JDT, Johor Southern Tigers melaporkan baginda memberi sumbangan itu kerana gembira melihat sukan bola sepak memainkan peranan penting dalam menyatupadukan rakyat negeri itu.

“Selain keprihatinan Sultan Johor dalam pembangunan negeri Johor, amal kebajikan, zakat dan waqaf serta yayasan-yayasan yang dinaungi, baginda berkenan mengurniakan sumbangan sebanyak RM50 juta kepada kelab bola sepak JDT.

“Tuanku membuat keputusan tersebut kerana baginda amat gembira melihat sukan bola sepak memainkan peranan yang penting dalam menyatupadukan Bangsa Johor dan mengharumkan nama Johor di persada dunia,” kata laman Facebook berkenaan hari ini.

Laman Facebook Johor Southern Tigers dalam pada itu menjelaskan bola sepak Johor akan beroperasi sebagai kelab sepenuhnya musim ini selaras dengan dasar penswastaan Liga Malaysia.

Menurut Johor Southern Tigers, ia merangkumi pasukan JDT, JDT II, JDT III, JDT IV dan segala program pembangunan akar umbi serta infrastruktur berkaitan.

Kata laman Facebook berkenaan, Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) akan berfungsi sebagai pengelola untuk segala pertandingan bola sepak di peringkat negeri dan kebangsaan.

“Berkaitan pengumuman Tunku Mahkota Johor sebagai pemilik kelab bolasepak JDT dengan pegangan milikan majoriti dan selebihnya milikan bersama para penyokong, peranan baginda sebagai Penaung Diraja PBNJ tetap diteruskan.

“Peranan Datuk Ismail Karim dan Mohd. Fahmy Yahya sebagai Presiden dan Setiausaha Kehormat PBNJ dan JDT masih lagi dikekalkan,” lapor Johor Southern Tigers. -Kedahnews.com