Syura Akui Kini Bergelar Janda, Dicerai Talak Dua September Lalu

Syura
Enggan lagi untuk terus berteka-teki dengan orang ramai mengenai statusnya kini, penyanyi Syura mendedahkan dia kini sudah bercerai dengan bekas suaminya, Mohd. Fadhly Md. Yassin dengan talak dua.

Menurut bekas juara Master Chef Selebriti musim kedua ini, dia tidak memaklumkan hal tersebut kepada umum sebelum ini kerana mahu menjaga hati banyak pihak.

“Apatah lagi bekas keluarga mentua adalah dalam kalangan sanak saudara sendiri. Banyak aspek yang perlu saya ambil kira. Saya tak boleh mementingkan diri sendiri saja. Saya bukan sengaja bertindak demikian.

“Saya harap penjelasan ini akan menjelaskan situasi sebenar. Semua dilakukan demi kebaikan semua. Cukuplah saya beritahu, orang di luar sana perlu tahu saya sudah menjadi ibu tunggal.

“Jika diikutkan, memang agak rumit untuk menjelaskan masalah rumah tangga kami,” katanya yang dipetik dari BH Plus.


Pasangan ini dilaporkan sudah sah bercerai pada September lalu dan mempunyai tiga cahaya mata hasil perkongsian hidup bersama.

Sementara itu, Syura tidak menolak jika dia dijodohkan bersama bekas suaminya kembali atau mana-mana lelaki lain. –Kedahnews.com