Tajaan Kelab Bola Sepak Yang Mencetus Ketawa Peminat Seluruh Dunia


Sebelum bermulanya sepak mula bagi musim baru liga bola sepak tahun 2016, negara kita mula kecoh dengan pelbagai kisah dan tajaan bola sepak dari pihak-pihak yang ingin menaja pasukan bola sepak tempatan.

Paling hangat diperkatakan ialah tajaan pengasas produk kecantikan Vida Beauty, Datuk Seri Dr  Hasmiza Othman yang membelanjakan sebanyak RM16 juta bagi menaja pasukan Kelantan, The Red Warriors, untuk selama dua musim.

Rentetan daripada itu, 'saudagar-saudagar' kecantikan di negara ini juga dilihat tidak mahu mengalah untuk turut serta menjadi penaja pasukan bola sepak tempatan yang lain.

Desas-desus mengatakan bahawa antara pihak yang berminat adalah seperti pengasas D'Herbs Healthy Sdn Bhd (D'Herbs), Datuk Aliff Syukri Kamarzaman yang dikhabarkan ingin 'melamar' pasukan Selangor.

Begitu juga dengan Pengarah Urusan Nouvelles Visages (NV), Erni Dekritawati Yuliana Buhari yang dilapor kononnya sedang mempertimbang untuk menaja sebuah pasukan yang akan beraksi dalam saingan Liga Super musim ini.

Kisah-kisah tersebut dikatakan telah membawa warna yang lebih meriah kepada liga bola sepak negara, yang dilihat semakin suram sejak kebelakangan ini selain dihantui masalah-masalah yang membabitkan isu kewangan persatuan dan gaji pemain.

Namun apa yang mungkin kita tidak tahu dalam dunia ini masih ada kisah penaja di negara lain yang dilaporkan pernah mencuri tumpuan dunia, termasuk kisah penaja yang pelik dan melucukan.

Berikut adalah kes-kes berkenaan;

1) Pasukan Voukefalas


Kelab dari Greece ini terpaksa menerima tajaan daripada rumah pelacuran dek kerana masalah kewangan yang dihadapi negara tersebut.

Oleh itu, pada 2012 kelab Voukefalas ini menerima tajaan daripada rumah pelacuran soula.

"Apabila kami mengumumkan kepada pemain kami akan ditaja rumah pelacuran, mereka bertanya tentang bonus," kata presiden kelab itu seperti yang dilaporkan oleh Mirror.Uk.

2) Pasukan Paleopyrgo


Masih juga di Greece, pasukan Paleopyrgo juga senasib dengan pasukan Voukefalas apabila masalah ekonomi menjadi faktor kepada pasukan ini untuk menerima tajaan daripada rumah mayat.


"Ia adalah tentang untuk terus bertahan. Pemilik rumah pengurusan mayat itu adalah seorang rakan dan kami bersetuju," kata pengurus kelab itu, Giannis Batziolas kepada Nova Sport FM.

3) Pasukan AC Milan


Walaupun kelab ini begitu mashur sehingga kini, namun pada tahun 1981-1982 kelab yang berasal dari Itali ini pernah menjadi bahan jenaka peminat bola sepak.


Memetik laporan Mirror, pasukan ini yang menerima tajaan daripada pakaian Pooh Jeans pada tahun itu, menarik minat khayalak kerana jersi yang dipakai oleh pasukan itu tertera perkataan "Pooh" yang besar tertera dibahagian hadapan jersi sehingga menjadi bahan tawa peminat. -Kedahnews.com