Taklimat Khas Bincangkan Kerjasama PAS-UMNO Di Kota Bharu?

Gambar Hiasan
Desas-desus sebelum ini mengenai kerjasama di antara dua parti terbesar orang Melayu, UMNO dan Pas mungkin bakal direalisasikan selepas Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang dijadualkan memberi taklimat khas tentangnya, Sabtu ini.

Beberapa portal hari ini melaporkan bahawa sebuah taklimat khas yang melibatkan pemimpin Pas negeri, kawasan dan semua ADUN itu dijadualkan berlangsung di satu lokasi di Kota Bharu, Kelantan.

Sebelum ini menerusi ucapan dalam Perhimpunan Agung UMNO awal Disember lalu, Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak telah menghulurkan ‘salam silaturrahim’ kepada Pas.

Penganalisis politik berpendapat ianya merupakan jemputan rasmi yang dibuat UMNO dan kini terserah kepada Pas untuk menerima atau menolaknya.

Kerjasama politik antara Pas dan Pakatan Pembangkang sebelum ini telah pun gagal dan Pas kini bersendirian selain mengadakan kerjasama sepihak dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Selangor, di mana mereka berkongsi pentadbiran kerajaan negeri.

Dalam pada itu Setiausaha Agung Pas Datuk Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata, Pas mengadakan taklimat khas bagi menerangkan kerjasama dengan UMNO kepada pemimpin-pemimpin tersebut.

“Taklimat itu akan dihadiri pimpinan pusat, negeri dan wakil rakyat Pas. Kita sekarang ini dalam proses memberi penjelasan tentang pendirian dan apa yang parti nak lakukan dalam menghadapi politik semasa.

“Taklimat ini berkisarkan keadaan dan isu semasa termasuk pendirian parti mengenai isu kerjasama Pas dengan UMNO,” katanya.

Menurutnya lagi, segala keputusan yang akan dibuat adalah hasil perbincangan bersama dan tidak tertakluk kepada keputusan mana-mana individu semata-mata. -Kedahnews.com