Tawaran Dr Vida Taja The Red Giants Hanya "Gimik Pasaran" Saja - Amiruddin


KUALA LUMPUR – Juara Piala Malaysia, Selangor menyifatkan tindakan pengasas Vida Beauty Qu Puteh, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman atau Dr Vida, yang mengeluarkan kenyataan mahu menaja pasukan itu sebagai ‘gimik pasaran’ dan strategi untuk mempromosi produknya.

Pengurus pasukan, Amirudin Shari, mengesahkan mereka masih belum menerima apa-apa tawaran rasmi daripada pihak Dr Vida berhubung penajaan pasukan itu untuk saingan musim ini yang bakal membuka tirainya, bulan depan.

Dr Vida
“Saya boleh sahkan tiada perbincangan berhubung isu ini dengan pihak Dr Vida, jadi saya beranggapan kenyataan ini hanyalah sebagai satu bentuk strategi pemasaran Dr Vida yang begitu cekap memanipulasi keadaan semasa.

“Memang kita sedang mencari penaja untuk pasukan ini, namun belum ada lagi mana-mana syarikat kecantikan yang datang berjumpa kami secara rasmi untuk menghulurkan penajaan.

“Jadi, saya berharap penyokong Selangor tidak cepat terpengaruh dan menerima kenyataan terbabit secara bulat-bulat kerana kami sentiasa berpandangan jauh untuk mengambil sebarang tindakan untuk pasukan Selangor,” katanya ketika dihubungi BH Sukan, sebentar tadi.

Amirudin berkata, meskipun pasukan Merah Kuning itu sedang giat mencari penaja, namun pihaknya akan menyelidik kesesuaian penaja terbabit dengan imej pasukan Selangor terlebih dahulu.

“Bila membabitkan isu penajaan, pastinya mereka juga mahukan manfaat daripada wang yang dikeluarkan, namun ini membabitkan soal bola sepak dan kita bercakap mengenai pasukan Selangor yang kaya dengan tradisi bola sepaknya.

“Jadi, kita akan teliti sebarang syarat penajaan supaya ia tidak membabitkan tradisi dan jati diri pasukan Selangor sehingga menukar imej pasukan ini secara keseluruhan,” katanya.

Terdahulu, sebuah portal sukan tanah air melaporkan Dr Vida berkemungkinan menukar tajaannya kepada pasukan lain iaitu gergasi Lembah Klang, Selangor, jika dua syarat yang ditetapkan olehnya sebelum ini tidak mendapat persetujuan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA).

Dua syarat terbabit termasuklah mengecat stadium keramat pasukan Kelantan iaitu Stadium Sultan Muhammad IV dengan warna merah jambu selain nama skuad Kelantan ditukar kepada Pamoga Qu Puteh The Red Warriors.

Namun, KAFA dikatakan sudah bersetuju dengan kedua-dua syarat terbabit secara lisan dengan rundingan lebih lanjut sedang dijalankan membabitkan wakil KAFA dan juga bersama wakil syarikat kecantikan itu.

Sumber: Berita Harian