Gambar Hiasan |
Saya bekerja sambilan mencari pendapatan lebih bagi membayar bil elektrik, air dan sebagainya. Pekerjaan itu dilakukan di syarikat perniagaan yang menjual arak di sebuah kelab malam.
Adakah pendapatan saya halal dan boleh digunakan untuk perbelanjaan seharian? Saya bekerja di situ kerana benar-benar kesempitan wang.
LIN, Kuala Lumpur.
Ingatlah manusia sentiasa diuji sama ada dengan kesenangan atau kesusahan untuk taat kepada Allah.
Allah berfirman yang bermaksud:
“dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan.” (surah al-Ambiya’, ayat 35)
Bagi menjelaskannya, saudara perlu mengetahui apakah dimaksudkan kesempitan wang? Adakah saudara masih boleh berpuasa bagi menjimatkan perbelanjaan atau terpaksa menggadaikan nyawa?
Sebenarnya bumi Allah luas dan perkara yang halal itu sudah memadai untuk saudara tidak mengambil yang haram.
Firman Allah bermaksud:
“Sesungguhnya orang-orang yang diwafatkan malaikat dalam keadaan menganiaya diri sendiri, (kepada mereka) malaikat bertanya: “Dalam keadaan bagaimana kamu ini?”“Mereka menjawab: “Adalah kami orang-orang yang tertindas di negeri (Makkah).”“Para malaikat berkata: “Bukankah bumi Allah itu luas, sehingga kamu dapat berhijrah di bumi itu?”“Orang-orang itu tempatnya neraka Jahanam, dan Jahannam itu seburuk-buruk tempat kembali.” (surah an-Nisa, ayat 97)
Jelas, arak diharamkan bersama dengan yang terbabit dengan pengurusannya. Sentiasa berdoa semoga Allah memberikan jalan keluar.
Seterusnya, lakukan perancangan, mencari pengalaman dan ilmu bagi memastikan hidup dengan baik, menyambungkan silaturahim dan bijaklah berbelanja dengan mendahulukan keperluan daripada keinginan.
Selain itu, wujud badan dan organisasi yang boleh saudara dapatkan nasihat dan bantuan. Usahalah dengan gigih kerana Allah tidak pernah mempersia-siakan usaha dan permohonan hamba-Nya. Didoakan semoga berjaya.
Sumber: Ustaz Haslin Baharin/myMetro