Terkini: Mukhriz Dakwa Jawatan Beliau Mandat Dari Rakyat

Bangunan Tunku dikerumuni hampir lebih 500 penyokong dan media sebentar tadi
ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir mendakwa jawatan yang beliau sandang di negeri ini datangnya dari rakyat yang memberi mandat padanya untuk mentadbir kerajaan negeri.

Justeru itu katanya, beliau menyerahkan kepada rakyat Kedah untuk menilai sendiri prestasi beliau sejak dilantik sebagai Menteri Besar dan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Kedah.

“Saya mendengar kenyataan yang dikeluarkan oleh sebahagian daripada kepimpinan Umno Negeri yang diketuai oleh Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah di Alor Setar petang tadi.

“Kedudukan saya sebagai Menteri Besar adalah atas mandat dan kepercayaan yang diberikan oleh rakyat dan juga atas perkenan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah setelah dicadangkan oleh YAB Perdana Menteri,” katanya sebentar tadi.

Selain itu Muhkriz berkata, kedudukan beliau sebagai menteri besar ini juga adalah atas perkenan Sultan Kedah sebagaimana yang dicadangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Kata Menteri Besar itu, beliau memegang amanah untuk berkhidmat dengan sebaiknya demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat.

“Rakyat dan pengundi jua yang akan menilai kemampuan pentadbiran saya,” jelasnya dalam reaksi isu terkini yang menggemparkan ramai pihak itu.

Sementara itu, tinjauan Kedahnews.com sebentar tadi menyaksikan ratusan penyokong Mukhriz masih berhimpun menunggu beliau selesai mesyuarat UMNO Bahagian Jerlun berada di bawah Bangunan Tunku di sini.

Berikut di bawah adalah kenyataan penuh beliau. -Kedahnews.com

KENYATAAN AKHBAR

Saya mendengar kenyataan yang dikeluarkan oleh sebahagian daripada kepimpinan UMNO Negeri yang diketuai oleh Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, YB Dato’ Seri Ahmad Bashah Md Hanipah di Alor Setar petang tadi.

Kedudukan saya sebagai Menteri Besar adalah atas mandat dan kepercayaan yang diberikan oleh rakyat dan juga atas perkenan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah setelah dicadangkan oleh YAB Perdana Menteri.

Saya menyerah kepada Rakyat jelata untuk menilai prestasi dan keberkesanan kerja buat saya bersama kepimpinan parti seluruh negeri sejak hari pertama Barisan Nasional kembali mentadbir Kerajaan Negeri Kedah pada pilihanraya umum ke13.

Seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, saya memegang amanah untuk berkhidmat dengan sebaiknya demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat. Rakyat dan pengundi jua yang akan menilai kemampuan pentadbiran saya.


DATO’ SERI HJ MUKHRIZ TUN MAHATHIR

Alor Setar
20 Januari 2016