KURANG dari sebulan, pasangan pelakon popular, Shaheizy Sam dan Syatilla Melvin bakal diijabkabulkan sebagai suami isteri.
Seperti mana bakal pengantin lain, pasangan merpati dua sejoli ini juga sempat merakamkan gambar pra perkahwinan mereka meskipun sibuk dengan segala persiapan sebelum menjelang hari bahagia.
Gambar-gambar hasil bidikkan jurugambar profesional terkenal, Amir Naufal Photographer itu ternyata menyerlahkan lagi kemanisan pasangan yang sedang hangat bercinta ini.
Pun begitu, kerana gambar-gambar ‘terlebih’ mesra itu juga, pasangan ini dikecam teruk oleh sebilangan peminat di laman sosial.
Enggan menoleh ke belakang, Syatilla mengambil pendekatan untuk tidak mempedulikan setiap komen negatif yang dilemparkan.
“Biarlah orang nak cakap apa pun. Saya tak nak ambil tahu. Buat apa saya nak ambil tahu kalau ia hanya untuk menyakitkan hati saya?
“Lagipun, saya tak nak tambahkan lagi tekanan saya hanya kerana perkara-perkara remeh ini.
“Lebih baik saya terus fokus dengan persiapan perkahwinan saya ,” katanya kepada Zass.
Dalam pada itu, pelakon dan model berusia 25 tahun ini mengakui sedang bercuti rehat daripada sebarang projek lakonan.
“Saya baru saja tamat penggambaran untuk drama bersiri Sha & Shah, dua hari lalu.
“Saya tidak mengambil apa-apa projek baharu kerana ingin memberi tumpuan sepenuhnya kepada persiapan perkahwinan.
“Alhamdulillah, setakat ini, lebih 70 peratus telah pun siap,” katanya.
Ketika ditanya bagaimana mewujudkan keserasian dengan pelakon popular, Kamal Adli melalui drama bersiri itu, Syatilla ternyata punya jawapan sendiri.
“Kami tidak pernah bekerjasama sebelum ini. Tetapi selepas dua minggu di set penggambaran, kami berjaya mewujudkan keserasian itu malah kami juga berkawan baik.
“Mungkin kerana kami sama-sama mempunyai perangai ‘gila-gila’ dan tidak kisah untuk bergurau kasar,” katanya.
Pada masa sama, Syatilla bersyukur kerana drama itu berjaya mendapat sambutan hangat daripada penonton.
Sumber: Sinar Harian