Tiada Manusia Babi Di Poster, Sesuai Dengan Keharmonian Malaysia - GSC

The Monkey King 2
PUTRAJAYA — Poster filem epik aksi The Monkey King 2 keluaran Hong Kong, China yang bakal ditayangkan menjelang sambutan Tahun Baharu Cina ini dilaporkan telah diubahsuai khusus hanya untuk pawagam di Malaysia.

Agensi berita antarabangsa AFP melaporkan, perubahan tersebut ialah menghilangkan gambar tokoh Zhu Bajie, iaitu karakter separuh manusia dan separuh babi menerusi poster filem tersebut yang dianggap agak sensitif.

Filem terbaharu yang dibintangi bintang ternama, antaranya aktres jelita Gong Li dan aktor kacak Aaron Kwok itu, berdasarkan kepada kisah klasik Cina mengenai seorang pendeta Buddha yang berkelana bersama tiga muridnya.

Salah satu murid sang pendeta Buddha itu ialah Zhu Bajie; lakonan pelakon komedi terkenal China, Xiaoshenyang, berusia 34 tahun; yang wataknya digambarkan sebagai bertubuh badan separuh manusia dan lagi separuh babi.

Pengedar eksklusif filem itu di Malaysia, Golden Screen Cinemas (GSC) bagaimanapun menjelaskan, pemadaman karakter Zhu Bajie itu tidak dilakukan berdasarkan arahan khusus daripada pihak Lembaga Penapisan Filem.

Namun syarikat tempatan itu tidak pula menyatakan alasan di sebalik perubahan kecil pada poster filem tersebut yang bakal disiarkan bermula pada 8 Februari depan iaitu hari pertama musim perayaan Tahun Baharu Cina.

“Syarikat ini ada proses penilaian sendiri untuk ubah suai poster filem agar sesuai dengan keharmonian suasana budaya masyarakat setempat,” terang jurucakap GSC yang tidak dinyatakan namanya ketika dihubungi AFP.


Perubahan karakter Zhu Bajie daripada poster filem itu sebaliknya mengundang pelbagai kritikan menerusi media sosial tempatan dan ada menyifatkan ia sebagai pelik tetapi tidak kurang memuji sensitiviti oleh pihak GSC.

Di Pulau Pinang, pihak berkuasa tempatan pernah mengeluarkan sejumlah jongkang-jongket berbentuk kepala babi dari sebuah taman pemainan kanak-kanak pada awal November lalu ekoran protes kuat daripada netizen.

Bahkan pernah berlaku di pusat perniagaan tertentu Malaysia, kasut yang diperbuat daripada kulit babi diberi label peringatan haram dibeli pelanggan Muslim dan dibungkus plastik untuk mengelak ia disentuh langsung. – Agensi