Timbalan Ketua Polis Kedah Bersara Selepas 38 Tahun Berkhidmat Dalam PDRM

Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Zakaria Yusof (paling kanan)
ALOR SETAR - Timbalan Ketua Polis Kedah Datuk Zakaria Yusof hari ini bersara selepas 38 tahun berkhidmat dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Acara menandatangani surat serah dan terima jawatan turut diadakan antara Zakaria dan Datuk Abd Jalil Hassan yang akan menyandang jawatan Timbalan Ketua Polis Kedah yang baharu berkuat kuasa esok.

Majlis serah terima tugas yang berlangsung di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah itu turut disaksikan oleh Ketua Polis Kedah Datuk Zamri Yahya.

Zakaria yang menyertai PDRM pada 1977 telah berkhidmat dan menyandang pelbagai jawatan sebelum dilantik menjadi Timbalan Ketua Polis Perak pada 2009 dan telah memulakan tugas sebagai Timbalan Ketua Polis Kedah pada tahun 2014.

Bercakap semasa perbarisan sempena majlis persaraannya, Zakaria berkata hampir dua tahun beliau berkhidmat di Kedah banyak pencapaian dan kejayaan cemerlang talah dicapai oleh polis Kedah dalam membanteras jenayah.

"Banyak kejayaan kita kecapi dari tahun 2014 hingga 2015 hasil berkat usaha, komitmen, dan keikhlasan yang ditunjukkan semua anggota di Kedah yang mana telah membawa kepada penurunan statistik jenayah indeks.

"Bagi tempoh Jan hingga Dis 2015, jenayah indeks yang dicatatkan ialah sebanyak 7,813 kes berbanding 8,116 kes bagi tempoh yang sama tahun lalu dan ini menunjukkan penurunan sebanyak 303 kes," katanya.

Zakaria berkata beliau berpuas hati dan bangga dengan pencapaian kontinjen Kedah sepanjang 2015 dan berharap PDRM akan terus meningkatkan usaha untuk memerangi jenayah demi kesejahteraan masyarakat Kedah. - BERNAMA