TMJ Dakwa Mentaliti Masyarakat Malaysia Tumpu Perkara Remeh

KUALA LUMPUR – Malaysia sukar untuk bergerak ke hadapan kerana mentaliti sebilangan masyarakatnya lebih tertumpu kepada perkara-perkara yang remeh dan tidak berfaedah, titah Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Titah baginda, mentaliti masyarakat Malaysia juga lebih berminat untuk mencari kesalahan orang lain serta tidak suka memberi kredit kepada mereka yang ingin berubah dan menjadi maju.

Titah baginda lagi, mentaliti seperti itu yang menyebabkan bola sepak Johor dikutuk dengan pelbagai tohmanan di media sosial termasuk dalam isu video iklan pelancaran jersi baharu pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) baru-baru ini.

“Saya mahukan pelancaran jersi kami berbeza daripada yang pernah dilakukan sebelum ini yang mana pasukan lain menggunakan pemain naik ke pentas di hotel atau pusat membeli-belah. Saya mahu pelancaran jersi JDT lebih gemilang.

“Malangnya, mentaliti masyarakat Malaysia kebiasaanya adalah lebih berminat untuk mencari kesalahan orang lain dan bukannya memberi kredit kepada mereka yang ingin berubah dan bergerak maju ke hadapan,” titah baginda dalam satu rakaman video yang disiarkan di laman Facebook Johor Southern Tigers semalam.

Tunku Ismail mengakui JDT mengikuti idea-idea yang baik daripada luar negara termasuk daripada infrastruktur dari Sepanyol, program pembangunan belia dari Jerman, bas mengikut reka bentuk AC Milan dan Juventus iaitu logo besar di belakang bas pasukan mereka.

Malangnya, tidak baginda, semua yang dilakukan JDT itu dikritik seolah-olah ia satu isu besar tetapi pada akhirnya pasukan Terengganu meniru bilik persalinan JDT, pasukan lain mula meletakkan logo besar di belakang bas, menggunakan ‘seat bucket’ di bangku pemain dan ‘LED board’.

“Kami menjadi peneraju dalam tanah air, mengambil pelbagai idea dari banyak negara dan idea kami pula ditiru oleh banyak pasukan lain di sinii. And boleh bertanya kepada pesaing saya, saya pasti mereka semua akan mengakuinya.

“Kita perlu bertanya kepada diri tentang perkembangan bola sepak tempatan dan bukan mencari kesalahan orang lain dan itulah sebabnya sangat sukar bagi negara ini untuk bergerak ke hadapan kerana mentaliti tempatan dan tahap pendidikan lebih tertumpu kepada perkara-perkara yang remeh dan tidak berfaedah,” titah baginda.

Justeru, Tunku Ismail menyeru seluruh penyokong JDT di dalam dan luar negara supaya tidak melayan mereka yang mempunyai mentaliti tahap rendah kerana JDT terus maju sejak tahun 2013 disebalik pelbagai kutukan yang diterima.

“Mengapa kita perlu melayan mereka. Biarkan mereka terus menyalak bukit, bukit tidak akan runtuh,” titah baginda. –Kedahnews.com