Datuk Seri Mahdzir Khalid |
Datuk Seri Mahdzir Khalid mengatakan Tun Dr Mahathir Mohamad tidak wajar mempertikaikan langkah menukar menteri besar Kedah kerana beliau pernah melakukan perkara sama tanpa mendapat sokongan wakil rakyat ketika itu.
Ahli Parlimen Padang Terap itu menjelaskan, sejarah pemecatan Tan Sri Osman Aroff pada 1996 semasa pentadbiran Dr Mahathir yang dibuat walaupun tidak mendapat persetujuan wakil rakyat Kedah waktu itu.
"Saya ingat di zaman Tun sendiri dulu waktu jadi perdana menteri, 22 wakil rakyat Kedah sebenarnya sudah menurunkan tandatangan mempertahankan Tan Sri Osman Aarof sebagai menteri besar.
"Tetapi beliau pada waktu itu adalah perdana menteri dan Tun buat keputusan menukar juga," kata Mahdzir yang juga ahli majlis Tertinggi Umno pada sidang media di kawasan parlimennya.
Semasa kemelut itu, Dr Mahathir membuat keputusan menukar menteri besar dengan menggantikan Osman dengan pengikut setianya, Tan Sri Sanusi Junid.
Dr Mahathir semalam mengatakan cubaan pimpinan Umno Kedah menyingkirkan anaknya, Datuk Mukhriz Mahathir selaku menteri besar negeri itu akan memakan diri, kerana Barisan Nasional (BN), akan tumbang pada pilihan raya umum akan datang.
Dr Mahathir mempertahankan anaknya dengan mengatakan pihak yang cuba menjatuhkan Mukhriz juga tidak mempunyai rekod kepimpinan yang baik.
Mengulas mengenai kenyataan itu, Mahdzir berkata sebarang penyelesaian yang dibuat dalam organisasi politik adalah berbeza.
"Suasana mungkin berbeza, saya kira dalam mana-mana organisasi akan ada penyelesaian yang boleh dibuat bila berlaku kalau boleh dianggap sebagai krisis.
"Jadi saya ingat keadaan itu bila datang pada suatu keadaan tentu ada kaedah dan penyelesaian waktu itu, jadi saya ingat itu jawapan saya," katanya.
Mukhriz ketika ini berdepan penentangan apabila sekumpulan pemimpin Umno Kedah diketuai Timbalan Pengerusi Perhubungan Negeri, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah menyatakan hilang keyakinan dan memintanya berundur daripada jawatan menteri besar.
Dalam perkembangan terkini, media melaporkan terdapat pengakuan bersumpah (SD) berjaya dikutip daripada 19 wakil rakyat Umno yang menyatakan tidak lagi menyokong Mukhriz.
Sumber: TMI