Tun M Yakin Kedah Milik Pembangkang Pada PRU ke-14 Nanti


ALOR SETAR  - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meramal bahawa pihak pembangkang bakal merampas pentadbiran kerajaan negeri Kedah pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang akan datang.

Kata beliau, ramalan itu adalah berdasarkan situasi politik di Kedah sekarang yang menyaksikan anaknya, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir yang dikatakan bakal kehilangan jawatan Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri.

"Saya tidak mengatakan supaya jangan tukar menteri besar, tetapi tahu apa akibatnya," katanya dalam satu kenyataan di Langkawi, hari ini.

Selain itu Tun M yang sebelum ini lantang mendedahkan niat mahu menjatuhkan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dari kepimpinan negara turut memperlekeh pihak yang dikatakakan bakal menggantikan anaknya sebagai "tidak mempunyai reputasi yang baik".

"Mereka menyebabkan BN tewas kepada PAS (pada tahun 2008). Oleh itu, jika mereka mengambil alih, kemungkinan mereka akan kalah dalam pilihan raya akan datang," katanya tanpa menyebut individu yang bertanggungjawab merampas Kedah kembali pentadbiran kerajaan negeri dari PAS pada tahun 2013.

Sementara itu, Perdana Menteri yang paling lama berkuasa di Malaysia itu juga sempat memberikan 'tips' berupa nasihat politik kepada anak beliau itu.

"Apa sahaja boleh berlaku dalam politik. Tak ada apa yang kekal. Anda ada rakan dan musuh.

"Kadang-kadang rakan untuk berkelakuan seperti musuh dan kadang-kadang musuh akan berkelakuan seperti kawan," ujar beliau.

Dr Mahathir sebelum ini pernah ditentang oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi yang memilih untuk tidak bersama beliau ketika berseteru dengan Tengku Razaliegh Hamzah dalam perebutan jawatan Presiden UMNO sebelum ini.

Namun beliau telah mengambil Abdullah ke dalam kabinet beliau kemudiannya sebelum dilantik menggantikannya sebagai Perdana Menteri dan kemudian bertindak keras "menyerang" serta menjatuhkan Abdullah dari kerusi Perdana Menteri. -Kedahnews.com