BEIJING – Sejak pencemaran udara di Beijing mencecah tahap amaran merah pada minggu lalu, jualan botol yang mengandungi udara segar dari kawasan pergunungan di Kanada semakin popular di China.
Dua usahawan dari Alberta, Kanada menjual botol udara segar yang dikenali sebagai Vitality Air lebih setahun lalu, tetapi dalam dua minggu terakhir ini jualan mereka di China meningkat mendadak.
Amaran merah diisytiharkan pihak berkuasa Beijing 7 Disember lalu, selama tiga hari apabila pencemaran udara mencecah tahap bahaya.
Pencemaran udara di Beijing berpunca daripada pelepasan asap kilang dan kenderaan.
Vitality Air diasaskan dua rakan baik Moses Lam dan Troy Paquette pada 2014.
Syarikat itu mengambil udara segar dari kawasan pergunungan di Alberta sebelum dibotolkan dan dieksport ke luar negara.
Wakil Vitality Air di China, Harrison Wang berkata, mereka baru memasarkan produk berkenaan di China lebih sebulan yang lalu, tetapi sambutan diterima sangat luar biasa.
“Kami memasarkan produk ini di Internet dan ia habis dalam tempoh beberapa hari sahaja,” katanya.
Menurutnya, Vitality Air dijual pada harga mencecah 400 yuan (RM266) sebotol bergantung pada saiz botol. – Agensi