Usaha "Damai" Terjejas, Mukhriz Tolak Jawatan Kabinet

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir
Seorang tokoh veteran UMNO hari ini mendedahkan bahawa tindakan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menolak tawaran jawatan Kabinet dalam rombakan lalu, telah memberi kesan kepada UMNO serta hubungan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Tokoh tersebut, Tan Sri Rahim Tamby Chik memberitahu, perkara itu berlaku ketika beliau menjadi ‘pendamai’ di antara Najib dengan bekas Perdana Menteri itu.

Katanya, salah satu inisiatif ‘pendamaian’ yang dibuat oleh beliau dan Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu, Datuk Fatmi Salleh ketika itu ialah menawarkan Mukhriz satu jawatan Kabinet pada rombakan yang dilakukan tahun lalu.

“Apabila Tun Mahathir tanya kenapa perlu diubah kedudukan anaknya itu daripada jawatan Menteri Besar, saya menjelaskan bahawa Najib yakin bahawa kedudukan Mukhriz terancam kerana banyak pemimpin UMNO Kedah yang menolak beliau.

“Tun minta saya jumpa Mukhriz untuk menyampaikan tawaran tersebut dan beliau akan mengikut sahaja apa yang bakal diputuskan. Tetapi ma­langnya, Mukhriz menolak tawaran Perdana Menteri itu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pada 20 Januari lalu, seluruh kepemimpinan UMNO Kedah dan wakil rakyat negeri itu menyuarakan pendirian hilang kepercayaan ter­hadap Mukhriz sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO ne­geri dan Menteri Besar.

Mengulas lanjut, Rahim yang juga merupakan Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) menjelaskan bahawa sehingga kini beliau kesal dengan keputusan Mukhriz itu yang telah menggagalkan inisiatif pendamaian Najib dan Dr. Mahathir.

Sumber: Utusan