#VAPE: Kedah Belum Putuskan, Masih "Tunggu Dan Lihat" - Mukhriz Mahathir


ALOR SETAR - Berbeza dengan keputusan Johor dan Kelantan yang memutuskan pengharaman penjualan VAPE, Kerajaan Negeri Kedah membuat keputusan "tunggu dan lihat" sebelum membuat apa-apa keputusan.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, buat masa ini kerajaan negeri mahu melihat pendekatan yang diambil negeri lain dan membuat sedikit kajian sebelum membuat pengumuman dalam masa terdekat.

"Sekarang ini kita belum buat apa-apa ketetapan. Saya terima laporan soal kesihatan yang jadi asas kenapa Majlis Fatwa haramkan vape, jadi ini pun satu yang kita perlu pertimbangkan," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman, semalam.

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah pada 23 November lalu memutuskan bahawa hukum menghisap vape dan shisha adalah haram kerana akan menyebabkan berlaku kemudaratan dan pembaziran kepada masyarakat Islam.

Isnin lepas, Melaka mengambil keputusan mengharamkan penjualan dan penggunaan vape di negeri itu, manakala Negeri Sembilan hari ini membuat keputusan untuk membenarkan penjualannya dengan mengambil kira kepentingan orang bukan Islam yang menghisap vape.

Sementara itu, negeri lain yang turut mengharamkan vape ialah Johor, Kelantan dan  Terengganu. -Kedahnews.com.